Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | SPM kali ini tak jamin murid akan menjadi?

Mutakhir ini, bagaimana peperiksaan peringkat kebangsaan seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dapat menjamin kemenjadian murid?

Seperti yang kita telah sedia maklum Kementerian Pendidikan Malaysia telah meminda tarikh SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke 22 Februari 2021 manakala STPM akan bermula pada 8 Mac 2021.

Menurut kementerian, pindaan ini secara keseluruhannya melibatkan seramai 524,718 pelajar yang membabitkan 400,445 calon (SPM), 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM).

Dua kali tarikh telah dipinda. Pernah atau tidak kerajaan melihat daripada aspek mental pelajar?

Keadaan menjadi lebih parah apabila negara kita sedang dilanda musim tengkujuh terutamanya di negeri Terengganu dan Kelantan.

Menurut saudara Mukminin - calon SPM di SMK Tun Telanai, Terengganu - yang terjejas akibat banjir, musim tengkujuh menganggu pelajarannya kerana rangkaian Internet terputus ketika hujan lebat.

Mukminin juga mempunyai masalah untuk belajar dan menghadiri kelas dalam talian sewaktu di pusat pemindahan kerana persekitaran yang agak bising dan tidak selesa.

Bukan itu sahaja, Mukminin juga mengalami tekanan perasaan kerana risaukan persediaan untuk menduduki SPM.

Inilah yang berlaku pada hari ini, satu daripada tiga pelajar mengalami masalah mental akibat daripada pindaan tarikh yang berlaku.

Dalam sejarah Malaysia, inilah kali pertama negara kita mengalami pindaan tarikh peperiksaan sebanyak dua kali akibat daripada wabak Covid-19 yang melanda negara ini.

Justeru, suara kami sebagai calon peperiksaan perlu didengari. Bukan pindaan tarikh yang kami pinta tetapi jaminan pihak kerajaan dari sudut mental dan pendidikan kami.

Hari pertama persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021 dan persekolahan diteruskan sehingga 21 Februari 2021.

Bayangkan apabila terdapat sembilan atau lebih subjek yang perlu dipelajari dalam masa hanya sebulan sebelum peperiksaan bermula.

Pada 20 Mei lalu, pihak organisasi badan bukan kerajaan iaitu Project ID telah memuat naik sebuah artikel di laman web mereka yang bertajuk “How Are Malaysian Students Learning Online?”

Artikel ini sekadar hiasan

Namun artikel ini sekadar hiasan sekiranya kerajaan tidak mengambil sebarang inisiatif untuk membantu para pelajar.

Adakah dengan saluran TV Pendidikan sudah memadai?

Walaupun tontonan saluran TV itu makin hari makin meningkat seperti dikatakan menteri pendidikan (1.8 juta di TV Okey dan 5.4 Juta di Astro setakat 4 Mei 2020), adakah ia menjamin pelajar bersedia menduduki peperiksaan?

Daripada jumlah tersebut, berapa ramaikah jumlah pelajar yang menonton saluran TV tersebut? Mungkin sahaja majoritinya merupakan ibu bapa dan guru.

Dalam arena hari ini ramai guru mengalami masalah pelajar tidak memasuki kelas dalam talian. Jadi kenapa kerajaan berkata TV pendidikan tersebut sudah memadai?

Seterusnya menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, sebanyak RM50.4 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Pendidikan.

Namun, sayang seribu kali sayang apabila hanya RM150 juta yang diperuntukkan untuk 150,000 pelajar di 500 buah sekolah rintis sahaja yang bakal mendapat bantuan komputer riba.

Adakah itu mencukupi?

Kerajaan sedar atau tidak bahawa kami bakal menduduki peperiksaan pada 22 Februari 2021 nanti dan proses kerajaan untuk menyampaikan bantuan ini akan mengambil masa yang agak lama?

Mungkin sahaja kami perlu menduduki peperiksaan atas dasar paksaan hanya untuk memperolehi sijil semata-mata.

Kerajaan perlu membuat pemeriksaan psikometrik terhadap semua pelajar terutamanya bagi pelajar tingkatan lima dan enam bagi tahun 2020 sewaktu persekolahan bermula nanti.

Inisiatif ini dapat mengukur tahap mental para pelajar dan menjamin kecerdasan mental mereka bagi menduduki peperiksaan.

Kerajaan juga harus mengehadkan jumlah pengambilan subjek dengan mengikut skop minat masing-masing berpandukan ujian psikometrik yang dikendalikan doktor pakar.

Kerajaan juga boleh menggantikan SPM kepada “external exam” berpandukan kursus yang ingin diambil oleh pelajar semasa di peringkat universiti dan kolej nanti.

Ini dapat membantu dan meringankan beban guru serta para pelajar yang terjejas akibat banjir dan Covid-19.

Kerajaan juga harus pertimbangkan nasib guru-guru yang tinggal di kawasan pendalaman yang tidak mempunyai akses Internet yang mencukupi.

Dua tahun silibus, ulang kaji sebulan

Bahkan, kerajaan harus memikirkan tenaga guru yang melakukan sesi ulang kaji dalam masa sebulan untuk dua tahun silibus pembelajaran demi persediaan SPM.

Ini semestinya melahirkan murid yang penat dan mengalami depresi.

Saya berharap kerajaan dapat memikirkan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Kami sudah penat dengan situasi pendidikan di negara ini.

Kerajaan harus mewujudkan mekanisme baharu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek dan emosi yang mampu menjadi tunjang kemajuan negara kelak.

Akhir kata, SPM 2020 pada 22 Februari 2021 nanti tidak akan menjamin kemenjadian murid dan inilah masanya untuk kerajaan mendengar suara dan hak kami.


NURUL RIFAYAH MUHAMMAD IQBAL adalah aktivis belia dan duta perpaduan Projek57, NGO yang memberi fokus kepada pemerkasaan belia terutamanya Orang Asli dan mereka yang kurang bernasib baik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.