Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Masa untuk beri perhatian pada Sabah

Dengan bilangan 533 kes di Sabah pada 25 Oktober 2020, Pemuda Sosialis menggesa kerajaan segera memberi perhatian kepada negeri itu yang semakin mengalami kesulitan akibat wabak Covid-19.

Pemuda Sosialis menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan seperti berikut:

(1) Kerajaan perlu mempercepatkan proses memberi dana kepada Sabah supaya dapat mengendalikan situasi Covid-19. Merujuk kepada laporan Persatuan Perubatan Malaysia, Sabah memerlukan suntikan dana yang besar dalam usaha membendung penyakit ini. Pemuda Sosialis menggesa kerajaan mengeluarkan dana secepat mungkin melalui quantitative easing (QE) supaya ia boleh digunakan untuk memperkembangkan kemudahan sedia ada.

(2) Inilah masanya untuk kita tinggalkan logik ekonomi yang mendorong sistem untuk berbelanja hanya berdasarkan hasil negara. Pemuda Sosialis menggesa kerajaan memberi suntikan dana untuk membantu rakyat yang memerlukan. Seperti yang kita tahu, Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai kadar kemiskinan mutlak dan kadar kemiskinan relatif yang tertinggi di negara kita. Kerajaan pusat harus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan bantuan diberi dan sampai kepada golongan yang memerlukan.

(3) Pemuda Sosialis ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengingatkan kerajaan untuk menambahkan perbelanjaan dalam sistem kesihatan dan mengiktiraf sumbangan pekerja sosial pada masa yang akan datang. Wabak ini mendedahkan fakta kekurangan dana dalam institusi-institusi kesihatan dan menyedarkan rakyat kebergantungan kita terhadap hospital-hospital kerajaan dalam menghadapi situasi kecemasan sebegini.

Pemuda Sosialis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada NGO dan individu yang berusaha membantu rakyat Sabah dari segi kewangan dan keperluan harian. Pemuda Sosialis ingin mengingati kerajaan dan ahli-ahli politik bahawa keperluan rakyat harus diutamakan terutamanya dalam jangka masa ini.


GANDIPAN NANTHA GOPALAN ialah setiausaha Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.