Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Hilang integriti musnahlah negara

Betapa banyak pemimpin negara di seluruh dunia, akhirnya hilang ketamadunan mereka kerana ketidakupayaan mempertahankan integriti. Dan dalam melihat isu kompetensi dan integriti ini, perkara yang terpenting perlu ada ialah kepimpinan.

Apatah lagi, keupayaan seseorang untuk menyatakan “Tidak!” cukup penting apabila berhadapan dengan realiti yang mana seorang pemimpin perlu mempertahankan nilai-nilai dalam dirinya, untuk menjalankan aktiviti yang berasaskan kepada kebenaran dan melakukan apa yang betul.

Tentunya kegagalan untuk mempertahankan nilai ini jelasnya, membuatkan seseorang itu mengalami decay of the values (kerosakan nilai).

Menurut Mohd Yatim (2006), pemimpin adalah penentu kepada hala tuju organisasi yang berperanan sebagai pembimbing dan penggerak kepada stafnya bagi mencapai matlamat organisasi.

Manakala, untuk melaksanakan tugas tersebut dengan efektif, pemimpin perlu mempunyai kemahiran dan keperibadian yang berkualiti di samping pengetahuan dalam bidangnya (Male 2006).

Kajian Eddy (2013) menunjukkan hanya pemimpin yang kompeten sahaja yang dapat mencapai hasil yang memuaskan melalui kepimpinannya.

Kompetensi adalah ciri-ciri yang diperlukan bagi melakukan sesuatu (Chen & Naquin 2006; Bass & Bass 2008). Beliau mendefinisikan kompetensi sebagai ciri-ciri asas individu yang diperlukan bagi melaksanakan sesuatu kerja contohnya, kemahiran, pengetahuan, sikap, kepercayaan, motif dan sifat-sifat; yang membolehkan penghasilan kerja yang cemerlang selaras dengan fungsi strategik organisasi.

Ini selari dengan kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed dalam program Bicara Bina Negara anjuran Jabatan Kajian dan Advokasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia yang diadakan pada 30 September baru-baru ini:

“Sejarah ketamadunan manusia, kebanyakan perlakuan-perlakuan, catatan-catatan sejarahnya adalah berkaitan tindak-tanduk daripada pemimpin.”

Justeru, sejarah dunia ini dicorakkan oleh pemimpin-pemimpinnya. Dalam hal ini, integriti sangat penting dan kompetensi pula menjadi teras bagi aspek pembangunan negara.

Pemimpin yang efektif adalah pemimpin yang mempunyai kompetensi yang mana kompetensi tersebut perlu dikenal pasti kerana ia adalah asas utama bagi pengurusan yang efektif (Rothwell 2010).

Oleh itu, bagi memastikan kecemerlangan organisasi, adalah penting pemimpin yang kompeten dilantik untuk memimpin organisasi (Hollenback et al. 2006; Rothwell 2010).

Namun, menurut Abu Kassim lagi, seseorang yang mempunyai kompetensi tetapi tidak mempunyai integriti kerana kepintarannya akan membawa kemusnahan kepada negara.

“Dalam masyarakat kita, isu-isu perlakuan rasuah berlaku kerana ia bermula daripada perkara-perkara yang kecil,” ujar Abu Kassim sambil memberikan persoalan mengapa masyarakat melakukan jenayah.

Suasana sangat selesa

Jelasnya, salah satu faktor berlakunya jenayah kerana suasana sangat selesa (environment very conducive) untuk ia melakukannya, pengesanan (detection) terhadapnya kurang dan yang paling penting, masyarakat tidak mengherdik perkara tersebut, herdikan masyarakat itu tidak kuat.

Dia menjelaskan, apabila herdikan masyarakat tidak kuat, menjadikan ia seolah-olah perbuatan tersebut diterima sebagai perbuatan yang normal.

“Jadi apabila perbuatan itu normal, maka ia akan menjadi satu new normal dalam masyarakat, yang ini cukup bahaya.”

Contoh lain yang jelas diberikannya ketika sesi tersebut ialah apabila seseorang itu menerima hadiah daripada orang yang mempunyai hubungan rasmi. Realitinya, apabila semua orang menerimanya, jadi dirinya beranggapan, apa salahnya aku menerimanya walau pada hakikatnya ia tidak sepatutnya menerima. Dan apabila situasi demikian mula berlaku, ia sudah menjejaskan integriti yang ada pada diri seseorang itu.

Namun tidak dapat dinafikan peranan keluarga juga penting untuk menangani isu rasuah ini terutamanya peranan pasangan dalam menangani atau membenteras isu ini.

Allah berfirman dalam surah al-Qasas ayat 26 bermaksud:

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

Melalui ayat ini, bukan ikhlas semata-mata menjadi penguat kepada nilai keunggulan Nabi Musa alaihissalam tetapi sifat amanah dan al-qawiy (kuat) yang boleh ditafsirkan sebagai nilai integriti dan nilai kompetensi dalam realiti kehidupan masa kini.

Dengan adanya sifat tersebut, seseorang itu perlu memiliki nilai-nilai yang baik (mahmudah) di samping mempunyai kepakaran dan ketrampilan dalam melaksanakan tugas secara berkesan dalam bidang pengurusan, pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Maka, dapat disimpulkan bahawa untuk mendapatkan seorang pemimpin kompeten dan berintegriti bukanlah mudah. Akan tetapi, setiap individu yang inginkan kelangsungan kehidupan cemerlang pada masa hadapan perlu berusaha sedaya mungkin untuk memperkukuh kompetensi dan integriti dalam dirinya.

Sebagaimana kata-kata cendekiawan Albert Einstein: "Integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful."

(Integriti tanpa ilmu adalah lemah dan tidak berguna, dan ilmu tanpa integriti adalah bahaya dan mengerikan.)

Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita khususnya para pemimpin di pelbagai peringkat dan masyarakat umumnya supaya bersama-sama memperkasa dan membudayakan amalan kompetensi dan integriti dalam segala tadbir urus dan kehidupannya bagi memacu negara ini menjadi negara rahmah.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.