Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Mencari semangat Hari Malaysia

Kepelbagaian etnik, kaum, agama, budaya, ideologi, dan demografik adalah hal yang signifikan untuk menyatakan identiti yang wujud pada Malaysia. Inilah kelebihan dan keunikan yang dimiliki negara ini.

Meskipun banyak perkara yang bertentangan dalam kalangan warganya,  Malaysia tetap aman tanpa sebarang episod berdarah yang besar dan leluasa. 

Hal ini disumbang oleh faktor kebijakan pentadbiran dan pemuafakatan politik rentas kaum dan ideologi yang diamalkan sejak sebelum tarikh keramat 31 Ogos 1957 lagi.

Namun begitu, eloklah disingkapi dahulu sejarah tertubuhnya persekutuan yang diberi nama Malaysia ini. Nama ini bukanlah lahir daripada ruang vakum tanpa sebarang latar yang menunjanginya. Tentunya ada cerita yang tersendiri dan perlu digali oleh setiap warga yang hidup di tanah bertuah ini.

Penubuhan sebuah negara Malaysia bermula pada 17 Januari 1962 dimulakan dengan Suruhanjaya Cobbold - sebuah suruhanjaya dengan enam anggota, termasuk Lord Cobbold, yang berfungsi untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri yang terlibat dalam langkah pembentukan persekutuan.

Referendum ini bermula dari Februari hingga April pada tahun yang sama. Hasil dapatan pungutan suara tersebut menatijahkan majoriti (80 peratus) setuju dengan pembentukan persekutuan dan pada 21 Jun 1962, laporannya diserahkan kepada kerajaan British.

Seterusnya, gagasan ini telah dipersetujui oleh beberapa anggota seperti Singapura, Sabah dan Sarawak. Ringkasnya, pada 16 September 1963 aspirasi penubuhan sebuah persekutuan yang bernama Malaysia telah menjadi kenyataan dan kemudiannya diisytiharkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Pun begitu, dalam kemanisan persepakatan ekonomi dan politik antara negeri-negeri yang terlibat, wujud beberapa cabaran yang menghambat keutuhan persekutuan yang terjalin. 

Contohnya pada 1965, Singapura telah menarik diri daripada Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara republik. Hal ini timbul ekoran beberapa masalah politik dalaman yang membadai antara Malaya dan Singapura.

Maka bermulalah episod persekutuan antara Sabah, Sarawak dan Malaya hinggalah ke hari ini. Ada ketika, nama Malaysia begitu semerbak di persada antarabangsa dan ada kala sebaliknya. Perkongsian kuasa dan ekonomi ini telah dikongsi dan dirasai oleh negeri-negeri anggota.

Sederap ke hadapan, timbul persoalan yang benar-benar mencakar minda; sejauh manakah tahap penghayatan dalam kalangan mahasiswa terhadap penubuhan persekutuan Malaysia? Adakah para siswa telah hanyut dibawa oleh arus deras globalisasi hingga telah memadamkan kesedaran mereka kepada asal mula penubuhan persekutuan ini? 

Benarkah mahasiswa di negara ini telah begitu cakna dan bangga dengan sejarah penubuhan Malaysia, atau telah benar-benar menyahkan budaya penjajah daripada fikiran mereka? 

Hal ini seharusnya ditangani secara kolektif terutama daripada mahasiswa itu sendiri di saat mereka mula melaung-laungkan pelbagai tuntutan pembebasan dalam bergiat, berpolitik, berasosiasi, berkomunikasi dan pelbagai lagi.


WAN MUHAMMAD ZUHIR GHAZALI  adalah setiausaha Kebolehpasaran, Kebudayaan dan Keagamaan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.