Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Aspirasi anak muda Sabah menuju PRN 2020

Umum telah mengetahui bahawa pilihan raya negeri Sabah akan diadakan pada 26 September 2020.

Ini susulan tindakan ketua menteri merangkap presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menasihatkan Tuan Yang Terutama (TYT) Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)

Tindakan ini jelas sekali menunjukkan ketidakstabilan politik dalam Malaysia. Hal ini sangat membimbangkan rakyat khasnya golongan anak muda.

Pada pandangan saya sebagai belia di negeri Sabah, perkembangan dan ketidakstabilan politik ini adalah sangat tidak baik buat negeri ini.

Lebih-lebih lagi kita sekarang masih berada dalam keadaan berjaga-jaga akibat pandemik yang menyerang seluruh manusia di seluruh dunia termasuk Malaysia khususnya Negeri Sabah.

Tambahan pula, kes Covid-19 melonjak kepada 62 kes pada 7 September 2020, yang sebahagian besar adalah daripada kluster Benteng Lahad Datu, Sabah.

Hal ini tentulah sangat membimbangkan rakyat Sabah sebagai pengundi yang akan turun menunaikan tanggungjawab pada 26 September 2020 nanti.

Oleh itu, sebagai anak muda Sabah, saya berharap agar kerajaan dapat mengawal pandemik Covid-19 ini dengan baik dan dapat menyakinkan pengundi untuk turun mengundi pada PRN Sabah dalam masa terdekat ini.

Mahu ‘wajah baru’

Sebagai anak muda, kami perlukan “wajah baru” dalam kancah politik terutama sekali di negeri Sabah, tidak kisah dari parti mana sekalipun sama ada kerajaan atau pembangkang.

Kami mahukan pemimpin yang dekat dengan rakyat, merasa denyut nadi rakyat, apa yang mereka mahu dan apa yang perlu diutamakan.

Kita tidak mahu pemimpin yang hanya menabur janji bulan bintang pada masa kempen pilihan raya sahaja.

Kami mahu pemimpin yang menjaga kebajikan rakyat.

Kini rakyat Malaysia khasnya golongan anak muda, sudah tahu menilai mana yang baik dan mana yang tidak baik.

Anak muda Sabah sudah tahu dan sangat prihatin terhadap situasi politik yang berlaku dalam negara ini.

Kami tahu, kami melihat, kami menilai, kami meneliti akan segala perkembangan politik yang berlaku dalam negara tercinta ini.

Jangan samakan pengundi sekarang dengan pengundi 20-30 tahun yang lalu.

Hari ini rakyat terutama sekali anak muda sudah tahu dan prihatin terhadap pergolakan politik yang tiada hentinya semenjak PRU14 lalu sehingga kini.

Ini tidak bermakna, kami hanya mahukan calon daripada golongan muda akan tetapi yang kami mahukan adalah “wajah baru” yang berjiwa rakyat yang dapat menjaga kebajikan rakyat di kawasan yang mereka menangi.

Kita tidak mahu wakil rakyat yang hanya tahu berjanji, tapi bila sudah mendapat mandat daripada pengundi mereka hilang dan jarang sekali muncul di kawasan yang dimenangi.

Wakil rakyat beginilah yang akan membantutkan pertumbuhan ekonomi di satu-satu kawasan dan masyakaratnya jauh ketinggalan apa lagi di negeri Sabah yang kebanyakkan adalah dari pedalaman atau luar bandar.

Hal ini adalah sangat penting untuk diketahui oleh wakil rakyat yang akan dipiih kelak.

Kami tidak mahu dengan pemimpin yang sering terlibat dengan skandal politik dan rasuah.

Kami sebagai golongan anak muda sangat muak dengan percaturan yang dilakukan oleh pempimpin-pemimpin politik yang berebut kuasa sehingga rakyat yang menjadi korbankanya.

Sambut baik parti ketengah calon muda pada

Kami sebagai anak muda negeri Sabah gembira dan menyambut baik parti-parti politik yang mengetengahkan calon muda pada pilihan raya negeri Sabah 2020.

Pada 10 September 2020, pengerusi BN yang juga pengerusi Umno negeri Bung Moktar Radin menampilkan muka baharu dalam percaturan politik dalam PRN Sabah.

Umno meletakkan 95% muka baharu iaitu 29 daripada 31 kerusi yang akan dipertandingan.

Ini merupakan satu strategi yang baik kepada BN Sabah dalam berdepan dengan pilihan raya negeri.

Hal ini kerana, pada PRN Sabah kali ini pengundi muda adalah kumpulan yang sangat berpengaruh, yang boleh dikatakan king maker.

Anak muda sekarang bukan seperti dulu.

Kami mengundi dengan minda yang terbuka, rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik politik serta menjunjung tinggi prinsip-prinsip demokrasi yang ada dalam negara ini.

Anak muda kini sudah tahu siapa yang akan mereka pilih untuk mewakili kawasan mereka kelak.

Untuk itu, kami ingin beri peringatan kepada semua calon akan bertanding untuk lebih peka dan mendengar suara anak muda terutama sekali belia akar umbi.

Rakyat Malaysia kini, terutama golongan anak muda sangat peka dan prihatin terhadap situasi politik yang berlaku dalam negara ini.

Pengundi-pengundi juga sudah tahu menilai, siapa yang akan mereka undi.

Kami generasi muda sekarang tidak termakan dengan pujuk rayu apa lagi wang ringgit.

Cukup-cukuplah, berjanji bulan bintang. Berkhidmatlah kepada rakyat kawasan jika menang nanti.

Kami mahukan pemimpin yang menjaga hati rakyat, tahu denyut nadi rakyat yang menjaga kebajikan rakyat.

Pada PRN Sabah 2020 ini, banyak parti tempatan yang ingin mencuba nasib, ini merupakan satu kejayaan demokrasi dalam negara.

Ia merupakan satu perkembangan yang baik.

Siapa saja yang akan bertanding pada 12 September ini, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya.

Semoga pada PRN Sabah ini dapat menstabilkan kembali negeri ini daripada pergolakan yang tidak henti semenjak PRU14 lalu.

Saya sebagai pengundi di kawasan N64 Sulabayan tentulah ada pilihan yang tersendiri.

Perbezaan pendapat dan ideologi adalah perkara yang biasa, jangan kerana perbezaan ini, kita putus hubungan dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakan-rakan belia Sabah untuk turun mengundi pada 26 September 2020 nanti, pilih calon yang dapat mengangkat isu-isu di kawasan anda, calon yang berjiwa rakyat dan merasa denyut nadi rakyat.

Jangan pilih calon berdasarkan bangsa atau berdasarkan talian keluarga, kerana jika mereka menang sakalipun adakah mereka dapat membela nasib kita?

Oleh yang demikian, Berfikir dengan minda yang terbuka, rasional dan jangan terpengaruh dengan retorik politik yang akan merugikan bangsa dan keturunan kita kelak.

Hidup anak muda!


ABY AL FAHD ABDULLAH SANI ialah anggota Parlimen Belia Malaysia sesi 2019/2021, yang juga anak kelahiran Semporna, Sabah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.