Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Suhakam: Penalti lebih berat pada pelaku pencemaran air

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyeru kepada penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan termasuk penalti yang lebih berat kepada pelaku pencemaran air demi melindungi hak rakyat kepada air yang bersih.

Pencemaran air yang berulang sejak bertahun lalu seringkali mengakibatkan gangguan bekalan air dan pencemaran air di Sungai Selangor baru-baru ini telah menyebabkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor tidak mendapat bekalan air.

Ini memberikan pelbagai cabaran kepada rakyat di negara ini untuk mendapatkan bekalan air bersih terutamanya mereka yang tidak mampu untuk membeli air botol sementara menunggu bekalan air pulih.

Golongan rentan termasuk orang tua dan wanita mengandung menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air yang diagihkan melalui lori tangki air bergerak terutamanya mereka yang tinggal di rumah pangsa tanpa lif.

Suhakam maklum bahawa kerajaan negeri Selangor telah mengambil tindakan terhadap kilang yang didakwa bertanggungjawab ke atas pencemaran di Sungai Selangor baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Suhakam bimbang bahawa undang-undang seperti Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tidak dikuatkuasakan dengan baik bagi melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

Pencemaran air yang berulang menunjukkan bahawa jurang besar undang-undang ini masih belum ditangani. Pada tahun 2015, negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk Malaysia telah menerima pakai 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang bertujuan untuk menambah baik kehidupan dan masa hadapan semua orang di seluruh dunia.

Matlamat 6 SDG adalah untuk memastikan bekalan air bersih dan sanitasi kepada semua. Dalam hal ini, Suhakam juga menekankan bahawa entiti perniagaan juga bertanggungjawab untuk menghormati dan melindungi hak asasi manusia dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Suhakam menyeru Kerajaan agar memenuhi komitmen untuk memastikan akses kepada air yang bersih untuk rakyat melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang berkesan dan pada masa yang sama, kajian semula terhadap undang-undang dan dasar bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pelaku pencemaran air.


Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.