Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Merdeka politik dan rakyat

Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan.

Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada hal ehwal kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati dalam bidang korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

Politik Islam, dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah siyasah. Buku-buku ulama menggunakan istilah siyasah syar’iyyah.

Dalam Al Muhith, siyasah berakar kata sâsa - yasûsu.

Dalam kalimat sasa addawaba yasusuha siyasatan bererti qama ‘alaiha wa radlaha wa adabbaha (mengurusinya, melatihnya, dan mendidiknya).

Bila dikatakan sasa al amra ertinya dabbarahu (mengurusi / mengatur perkara). Bererti secara ringkas maksud politik Islam adalah pengurusan atas segala urusan seluruh umat Islam.

Begitulah panjang lebarnya tafsiran atau definisi politik itu sendiri.

Saya bukanlah ahlinya untuk memberikan tafsiran atau definisi politik dan saya sangat pasti pakar-pakar lain ada definisi atau lebih arif mengenainya.

Ahli politik itu sendiri pasti mempunyai kefahaman mereka sendiri.

Golongan seperti saya, sering mengatakan politik itu kotor, sampai satu tahap merasakan ia begitu jijik, memualkan dan sangat hina.

Itu mungkin pandangan cetek orang seperti saya, tapi siapa boleh menafikannya?

Melihat tingkah laku ahli politik saja sudah cukup menyampah pada saya, tidak kira apa jenis parti mereka mahupun label parti mereka Islam sekalipun tidak mencerminkan namanya.

Menjadi ahli politik dilihat sebagai jambatan atau jalan singkat mengumpul kekayaan dan harta.

Berapa ramai orang yang masuk politik menjadi kaya tiba-tiba, apatah lagi apabila memegang pelbagai jawatan.

Dan yang sudah kaya menjadi bertambah-tambah kaya. Dan kadang-kadang kekayaannya itu luar biasa kayanya.

Bukanlah tidak boleh menjadi kaya dan tidak dinafikan ada di kalangan mereka yang sebelum masuk politik memang sudah kaya.

Malaysia maju

Tapi persoalannya, perubahan ketara kekayaan dan kemewahan itu hanya pada mereka (ahli politik) dan bukanlah kepada yang orang yang telah memilihnya untuk duduk di puncak.

Selepas 63 tahun merdeka, masih ada kawasan di Malaysia yang masih belum mempunyai bekalan elektrik dan sumber bersih bagi keperluan harian.

Setelah dimomokan Malaysia negara maju, masih ada kawasan yang masih belum mampu menikmati perkhidmatan Internet.

Begitu juga tahap pendidikan atau kanak-kanak yang masih tercicir dengan pendidikan dan sekolah yang masih di tahap tidak memuaskan.

Itu semua masih berlaku, tetapi para ahli politik yang rakyat panggil pemimpin ini terus mendapat habuan setiap bulan berupa gaji puluhan ribu dan pelbagai nikmat yang lain untuk gelaran mereka itu.

Mungkin rakyat tidak kisah, rakyat memang sudah dipasak pemikiran mereka, pemimpin memang ada banyak duit, rakyat biasa memang begini. Jadi rakyat memilih mereka untuk apa?

Bagaimana mereka berselera makan hasil duit gaji mereka setiap bulan, sedangkan rakyat yang memilih mereka untuk makan 3 kali sehari pun tidak cukup?

Rakyat juga tidak kisah siapa yang mereka pilih, asalkan perut terisi, biarpun daripada hasil haram.

Rakyat juga mungkin tak kisah untuk memilih pemimpin korup sebagai ketua, asalkan mulut terus disuap.

Dan beginilah berterusan akan terjadi. Dan pemimpin korup akan terus mendapat tempat dan yang tercicir akan terus tercicir.

Selepas 63 tahun merdeka, bukanlah rakyat Malaysia yang merdeka rupanya, tetapi golongan tertentu yang memanipulasi rakyat dengan kemerdekaan itu untuk merdekakan mereka mengaut segala hasil bumi untuk diri sendiri.

Dan rakyat terus dikerah untuk kesenangan mereka.

Kemerdekaan ini sudah mempunyai pelbagai kontrak dalamnya. Rakyat sendiri tidak tahu dan tidak faham.

Bukanlah rakyat tidak mengambil peluang daripadanya, tetapi peluang itu hanya khas untuk golongan tertentu.

Untuk rakyat, adalah terus menanam harapan, harapan yang tak pasti.

Berganti musim, dari datuk sampai ke cucu, masih mengharapkan perubahan dan kemajuan, setidak-tidaknya untuk diri sendiri dan keluarga.

Cukup makan, pelajaran dan mendapat masa depan yang terjamin.

Laungan merdeka hanya bagi mereka dan rakyat terus meraung.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.