Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Kerajaan Pahang - jangan halalkan apa yang diharamkan

Di saat kita menyambut Hari Kebangsaan ke-63 dan Hari Malaysia yang bakal menjelang, ternyata isu kebun durian Musang King haram di Raub, Pahang masih belum ‘dimerdekakan’.

Para pekebun haram tersebut masih rancak mahu menegak benang yang basah dengan menuntut pujuk rayu pihak pemerintah.

Manakala, sesetengah pemimpin politik khususnya dari parti yang berbeza dengan parti pemerintah, masih serius mahu membantu ‘menghalalkan apa yang telah diharamkan’.

Yang salah tetap salah, kedudukan undang-undang mengenai status tanah itu jelas termaktub dalam Seksyen 48 Kanun Tanah Negara 1965, yang menegah sebarang aktiviti pendudukan di tanah itu tanpa izin.

Tak hairanlah jika kerajaan negeri Pahang pada 1 Ogos lalu telah bertindak tegas ke atas 111 pekebun durian haram ini.

Peliknya, masih ada rakyat dan para pemimpin parti politik yang sokong 111 pekebun ini.

Dalam soal pendatang tanpa izin, kita lawan mereka habis-habisan. Tapi kenapa dalam isu membina kebun durian tanpa izin ini kita membezakan antara kedua-dua aktiviti tersebut?

Pendatang tanpa izin datang secara haram ke negara kita. Pekebun durian Musang King di tanah kerajaan ini juga meneroka dan menggunakan harta kerajaan tanpa izin juga.

Ada yang kata 111 pekebun haram ini tak mampu, terpaksa meneroka tanah secara haram demi sesuap nasi mereka.

Tapi lupakah kita dari mana para pekebun haram ini peroleh dana untuk mengupah kerja-kerja bersih kawasan kebun seluas 5,000 hektar?

Jika mereka tak mampu, bagaimana mereka boleh membeli anak-anak pokok Musang King yang mencecah lebih RM100 sepokok? Jangan terpedaya dengan serangan psikologi.

Sebagai seorang pemerhati dan rakyat yang cakna terhadap isu-isu semasa dalam negara, saya yakin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pemangku Sultan Pahang, menteri besar dan para pemimpin politik propemerintah sangat-sangat berjiwa rakyat.

Pengalaman kita pernah dijajah, tanah nenek moyang kita pernah dirampas 63 tahun dahulu akan memberi keinsafan dan pedoman buat para pucuk pimpinan kita. Tidak kira dari pintu istana, sehinggalah ke yang berhormat di kampung.

Ayuhlah kerajaan Pahang, inilah masanya untuk pihak pemerintah benar-benar berjiwa rakyat dan terus menjadi ‘juara rakyat’.

Sekiranya kita bersifat ‘menarik benang dalam tepung’, kita telah menganaktirikan kira-kira 1.8 juta rakyat Pahang demi untuk menjaga 111 orang pekebun tanpa izin ini.

Justeru, jika kita benar-benar berjiwa patriotik dan mahu menjaga negara tercinta, kita semua tak ada pilihan lain selain menyokong dan mendesak kerajaan negeri Pahang untuk mengambil tindakan keras terhadap para penceroboh berkenaan.


SARFARIZMAL MD SAAD bergiat dalam Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (Abata).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.