Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Annuar Musa bagi gambaran pembangunan Kg Bharu akan gagal?

Pembangunan Kampung Bharu sentiasa menjadi keutamaan agenda kerajaan Malaysia zaman berzaman. Sejak BN, Pakatan Harapan (PH), dan kini Perikatan Nasional (PN), Kementerian Wilayah sentiasa berusaha untuk menstruktur semula lanskap kawasan Kampung Bharu agar lebih tersusun dan mesra dengan tema ibu negara.

Berada di tengah-tengah Kuala Lumpur, menjadikan lokasi Kampung Bharu bukan sahaja signifikan untuk pembangunan terancang, bahkan membawa nilai hartanah yang mampu mengubah nasib pemilik menjadi jutawan dalam sekelip mata.

Meski begitu, isu-isu seperti perwarisan bertindan, sikap pemilik yang masih cuba tarik tali dalam urusan tawaran harga, menjadikan usaha pengambil-alihan menjadi sukar memandangkan status tanah yang bersifat pegangan bebas.

Oleh itu, pemerintahan Pakatan Harapan telah menawarkan harga yang paling tinggi dicatatkan dalam sejarah, iaitu RM1,000 untuk setiap kaki persegi, bagi membulatkan minat pemilik tanah untuk menjualnya.

Namun begitu, Annuar Musa pada ketika tawaran itu dibuat, mengatakan bahawa nilai tersebut terlalu rendah dibanding harga pasaran.

Ini sekali gus mengagalkan hasrat kerajaan disebabkan pemilik yang semakin ragu dan mengharapkan pulangan yang lebih besar.

Bagaimanapun, hari ini setelah Annuar Musa menjadi menteri Wilayah, beliau mengakui bahawa tiada sumber dana yang cukup untuk membeli dengan harga setinggi itu.

Ini sekali gus memberi signal bahawa penawaran harga akan berlaku pada kadar lebih rendah dan ini pastinya mengundang berang penduduk dan pemilik kawasan Kampung Bharu.

Ternyata usaha yang telah dilakukan oleh bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, sudahpun berada pada tahap yang maksimum dan cuba memberi jaminan kesenangan kepada bumiputera.

Tetapi, segala usaha tersebut tidak berjaya, malah beliau digelar sebagai 'menteri broker tanah', disebabkan sentimen yang cuba dimainkan pembangkang ketika itu (BN) supaya ketelusan pemerintahan PH ini gagal.

Melihat kepada lenggok kerajaan PN yang cuba bermain tarik tali dengan rakyat sebegini, saya menyeru agar rakyat buka mata dan lebih bijak menilai waktu serta pihak mana yang lebih baik pentadbiran dan pengurusannya.


ASMAALIFF ABDUL ADAM ialah ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.