Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Pilih calon yang boleh bawa suara akar umbi

Parti Bersatu bakal mengadakan pemilihan sulung di peringkat nasional pada bulan ini. Bagi sayap pemuda, Armada Bersatu juga akan memilih pemimpin peringkat nasional mereka buat kali pertama.

Sebagai sebuah parti yang masih baharu namun sudah berkuasa, ia mewujudkan satu landskap baharu kepada politik Malaysia. Akar umbi sayap ini yang sudah bersama-sama parti ini sejak penubuhan awal sudah dapat melihat siapa di antara mereka yang benar-benar bekerja demi parti dan akar umbi.

Perwakilan perlu bijak menilai pemimpin-pemimpin mereka. Besar harapan YAB presiden agar perwakilan dapat membuat pilihan yang tepat, seraya dengan imej dan reputasi beliau sebagai ketua kerajaan dan pemimpin gabungan parti-parti politik bersama di dalam kerajaan.

Sebagai sebuah parti yang berteras kepada perjuangan Melayu dan Bumiputera, asas prinsip dan semangat perjuangan ini perlu dipegang oleh para perwakilan sepanjang masa. Pilih calon yang boleh dibanggakan dan boleh bekerja demi parti.

Sebagai sayap pemuda yang paling muda jika dibandingkan dalam gandingan bersama Pemuda Umno dan PAS, masih banyak potensi yang boleh diterokai di dalam Armada ini.

Apa yang telah berlaku dan dilalui oleh sayap ini sebelum ini amat pahit untuk ditelan, namun perwakilan perlu lihat ke hadapan. Cabaran untuk menstabilkan sayap ini bukan satu proses segera, ia memakan masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

Ia adalah satu usaha yang berterusan. Justeru pada kali ini, para perwakilan diberi peluang untuk mendapatkan barisan baharu yang mantap untuk mewakili mereka di peringkat pusat.

Kita mahu ahli-ahli sayap ini bangga memakai lencana Armada di dada mereka. Kita mahu ahli-ahli ini dibantu, diberi latihan dan tunjuk ajar supaya mereka boleh memajukan diri mereka dan balik ke kampung halaman masing-masing untuk membantu orang lain pula.

Besar harapan saya agar para perwakilan membuat pilihan yang tepat demi kelangsungan sayap kita. Insya-Allah, kita akan beroleh kejayaan. Selamat bersidang buat sahabat-sahabat Armada di seluruh Malaysia.


MOHAMAD SIDDIQ MOHD AZANI merupakan calon exco Armada Nasional merangkap ketua penerangan Armada Putrajaya dan pengerusi biro undang-undang Bersatu Putrajaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.