Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Pelitup muka pakai buang dianggar tambah 62,000 tan sisa plastik setahun

Kerajaan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air harus mula mengambil perhatian serius akan potensi implikasi negatif dasar kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada alam sekitar.

Berdasarkan anggaran kasar dasar pemakaian mandatori pelitup muka berpotensi untuk menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan, sisa tercemar sebanyak 31,000 tan dan 27,000 tan bagi sisa pembungkusan plastik negara dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup muka pakai buang diteruskan di kalangan rakyat.

Kelab Gemilang menggesa kerajaan persekutuan dan negeri untuk mula menggalakkan pemakaian pelitup muka jenis fabrik yang menepati garis panduan ditetapkan World Health Organization (WHO).

Pelitup muka jenis ini perlu mempunyai tiga lapisan yang terdiri daripada lapisan paling dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik), lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) dan lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

Berdasarkan garis panduan WHO, pelitup muka perubatan pakai buang yang kini dipakai oleh sebilangan besar rakyat Malaysia hanya perlu dipakai oleh petugas kesihatan, orang awam yang mempunyai gejala dan orang awam yang berisiko tinggi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik.

Pihak kami pasti bahawa pencemaran alam sekitar dan penghasilan sisa plastik tidak terkawal boleh dibendung jika rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengikuti garis panduan yang ditetapkan WHO ini dan memilih untuk memakai pelitup muka jenis fabrik yang boleh dipakai semula selepas dibasuh.


NA’IM BRUNDAGE ialah pengerusi Kelab Gemilang

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.