Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Pembuangan bayi: Strategi mengatasi masalah sosial

Sedekad yang lalu telah menyaksikan laporan kes pembuangan bayi yang berlarutan di Malaysia. Naratif utamanya sering kali menyalahkan wanita yang terpaksa memilih jalan tersebut sebagai penyelasaian kepada kehamilan tak dikehendaki. Akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kontraseptif dan pengguguran kandungan yang selamat dan berpatutan adalah diperlukan agar wanita dan gadis remaja dapat membuat pemilihan reproduktif yang lebih baik.

Ramai gadis dan wanita berdepan dengan kehamilan tak dikehendaki oleh kerana akses yang terbatas pada pengetahuan dan pencegahan kehamilan serta kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif dan seksual. Ini kerap memberi kesan ke atas peluang pelajaran mereka. Mereka terpaksa berhenti sekolah atau universiti disebabkan kekurangan sokongan dan kesan stigma masyarakat. Stigma bukan sahaja menghalang akses kepada pengetahuan dan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, malah, ia membendung masyarakat dari membincangkan isu sedemikian dengan cara menyelami perasaan mangsa dan tanpa menghukum melulu agar dapat mengutamakan kesejahteraan gadis dan wanita yang mengalami kehamilan tak dikehendaki.

Pembuangan bayi adalah simptom kepada isu yang lebih besar. Gadis dan wanita menyerah pada kaedah yang berbahaya dan memberi trauma psikologi ini atas banyak sebab dan sebab utamanya adalah tidak adanya struktur sokongan dan belas kasihan masyarakat yang diperlukan untuk menyokong pilihan-pilihan reproduktif dan seksual mereka.

Sungguhpun wujud undang-undang keras menghalang kehamilan remaja dan pembuangan bayi, laporan menunjukkan secara purata lebih 100 orang bayi dibuang setiap tahun. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, satu laporan kes pembuangan bayi dalam tiap tiga hari cumalah apa yang tampak di permukaan, kerana ia cuma menzahirkan kes-kes yang telah dikenal pasti. Memandangkan isu ini dibaluti kerahsiaan, kita tak dapat membayangkan pun betapa banyaknya kejadian yang benar-benar berlaku di seluruh negara memandangkan banyak kes biasanya tak dilaporkan.

Kami secara tegas menganjurkan strategi pencegahan berikut, bukan sekadar untuk melindungi hak-hak gadis dan wanita, bahkan untuk membendung gejala sosial yang semakin parah ini.

1. Pendidikan Seksualiti Komprehensif (PSK). Kaedah pencegahan awal memberikan pendidikan dan maklumat tentang cara melindungi diri sewaktu berhubungan seks dan bagaimana menangani kehamilan tak dikehendaki secara selamat. Kajian menunjukkan yang pendidikan seks mengurangkan risiko tinggi perlakuan seksual dan meningkatkan umur seseorang terlibat dengan seks secara aktif.

2. Pencegahan kehamilan (kontrasepsi). Semua orang memerlukan maklumat dan akses kepada kaedah-kaedah kontrasepsi yang berlainan agar bersesuaian dengan gaya hidup mereka. Juga, memberikan perkhidmatan kontraseptif tanpa bersikap menghakimi adalah mustahak kerana orang merasa takut kalau-kalau ‘dileter’. Perlakuan sebegitu, walaupun berniat baik, menyebabkan penyisihan khususnya bagi remaja yang memerlukan akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif dan seksual, justeru memaksa mereka membuat keputusan secara melulu.

3. Menamatkan kehamilan. Ramai wanita tidak mampu mengenal pasti perkhidmatan pengguguran yang selamat. Akibatnya, ramai yang beralih kepada pil-pil tak berdaftar yang dijual di Internet atau membuang bayi tanpa sifat perikemanusiaan. Usaha untuk mengikis stigma pada pengguguran akan menurunkan kes pembuangan bayi secara ketara, memberikan lebih banyak peluang untuk gadis-gadis dan wanita meneruskan pelajaran mereka, maju dalam kerjaya, mengelak belenggu hutang dan tekanan, lantas secara keseluruhan mengurangkan kesan pada fizikal dan mental yang disebabkan kehamilan tak dikehendaki.

4. Perkhidmatan tanpa sikap menghakimi. Sokongan tanpa prasangka untuk penamatan kehamilan di peringkat awal dan kelahiran bagi kehamilan tak diingini harus dilaksanakan di perkhidmatan kesihatan awam dan swasta. Pekerja di bidang kesihatan memainkan peranan penting dalam menyediakan khidmat sokongan yang berbelas kasihan dan tidak bersifat menghakimi kepada gadis-gadis dan wanita yang berdepan dengan kehamilan tak diingini, tanpa mengira umur, bangsa, agama atau status perkahwinan.

Langkah yang diambil oleh seorang gadis 18 tahun di Pulau Pinang (sekarang berdepan dengan tuduhan bunuh yang membawa kepada hukuman mati jika sabit kesalahan) hanyalah satu simptom dari sistem kita yang gagal. Ramai gadis muda dan wanita tidak tahu-menahu tentang strategi pencegahan serta tidak mendapat sokongan yang diperlukan untuk menangani kehamilan tak diingini. Tekanan dari masyarakat cuma melahirkan ketakutan dan panik, khususnya untuk gadis muda dan wanita yang kenal benar akan stigma yang ditanggung wanita bujang bila berdepan dengan kehamilan tak diingini.

Menyekat akses kepada maklumat dan menafikan akses kepada hak kesihatan justeru memenjarakan gadis-gadis dan wanita dalam kelemahan dan ketakutan dan mengancam kemampuan mereka untuk membuat keputusan yang berilmu dan berwibawa. Kami percaya yang masyarakat dan institusi kerajaan kedua-duanya berada di gelanggang tepat untuk memainkan peranan yang kuat dan positif dalam mengikis stigma yang menghantui perbincangan berlegar pembuangan bayi, mempromosi akses kepada hak kesihatan reproduktif dan seksual serta mewujudkan lingkungan yang kurang menghakimi golongan gadis dan wanita.


AMINAH RAWTHER ialah perunding kajian dan advokasi Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM) manakala DR SUBATRA JAYARAJ ialah setiausaha kehormat badan itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.