SURAT | Vandalisme bukan budaya Malaysia
Insiden tidak bertanggungjawab menconteng mural wira-wira negara yang bertukus-lumus membanteras pandemik Covid-19 adalah satu perbuatan yang perlu dihukum agar insiden tidak beradab ini, tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Mural Yang Di-Pertuan Agong, YAB perdana menteri, ketua pengarah kesihatan dan lain-lain wira negara dilukis sebagai penghargaan daripada rakyat kepada mereka.
Namun ada segelintir yang bersikap busuk hati, telah memusnahkan mural tersebut dengan menconteng kata-kata kesat.
Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.
Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
Apabila prinsip kesopanan dan kesusilaan diabaikan, maka lahirnya manusia tidak sopan dalam kalangan warganegara.
Kesopanan dan kesusilaan bermaksud menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.
Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat.
Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa seluruh rakyat Malaysia, termasuk segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab untuk kembali menghayati budaya Malaysia dengan berpandukan Rukun Negara – kesopanan dan kesusilaan.
Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa pihak berkuasa mencari petualang ini agar hukuman yang setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada mereka.
Diharapkan insiden sebegini tidak lagi berlaku kerana ia bukanlah budaya rakyat Malaysia yang terkenal dengan adab yang tinggi.
SHAHIR ADNAN ialah ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap naib pengerusi Ikatan Kelantan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai