Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Cengkaman kemiskinan dalam kalangan belia

Pembinaan belia yang sejahtera merupakan agenda yang seharusnya menjadi perhatian umum oleh semua pihak.

Kelangsungan belia yang produktif akan melahirkan kumpulan masyarakat yang mampu berdaya saing dan hidup dalam keadaan yang sejahtera.

Justeru, kemiskinan yang melanda telah merubah landskap pembangunan belia yang sebaiknya.

Belia yang dilanda kemiskinan mengalami keadaan sukar untuk bersaing dan menempatkan diri dalam kalangan masyarakat sama seperti insan yang lain.

Kebelakangan ini, impak dari pandemik Covid-19, isu kemiskinan belia telah mendapat perhatian masyarakat terutamanya pihak kerajaan dan ahli-ahli ekonomi.

Ditambah pula dengan peratusan jumlah pengangguran yang meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020, hal ini mendorong lebih banyak perdebatan di mulut-mulut ahli politik dan masyarakat awam.

Menurut Jabatan Perangkaan, sejumlah 826,000 orang tidak bekerja setakat Mei lalu.

Ini berbanding kadar pengangguran negara sebanyak lima peratus yang dicatatkan pada April 2020.

Secara umumnya, kemunculan isu kemiskinan belia adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama, antaranya seperti faktor pendidikan, faktor kerajaan, faktor keluarga dan sebagainya.

Pelbagai pendekatan diperlukan sekiranya ingin mengatasi cengkaman kemiskinan.

Beberapa kajian lepas membuktikan bahawa faktor pendidikan merupakan salah satu faktor yang tidak boleh disisihkan dalam usaha mengurangkan kemiskinan belia.

Apabila seseorang belia mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi, keupayaannya dalam mendapat peluang pekerjaan adalah lebih tinggi dan turut menjamin pendapatan yang lebih lumayan.

Pemerkasaan belia dalam pendidikan dengan menyediakan lebih banyak peluang kepada pendidikan yang tidak hanya berfokuskan kepada pendidikan formal, tetapi turut membuka peluang kepada pendidikan yang tidak formal.

Ini kerana ingin memberi peluang kepada golongan yang mengalami kurang pendidikan untuk mendapatkan tempat dalam memperkayakan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan yang lebih baik.

Selain itu, sokongan dan bantuan pembiayaan pendidikan yang lebih sistematik dan meluas haruslah diperkenalkan bagi membantu golongan miskin bandar terutamanya belia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Hal ini harus diperhalusi dengan melihat kepada jumlah pendapatan minimum yang diperoleh agar tidak berlaku pengecualian sosial dalam kalangan miskin bandar.

Potensi keusahawanan

Penerapan pendidikan terhadap potensi keusahawanan dalam menjana pendapatan dan pembinaan jaminan kehidupan yang baik haruslah diterapkan dengan lebih meluas di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat universiti agar ilmu keusahawanan boleh disemai dan dipupuk seterusnya membantu kepada penjanaan ekonomi yang baik kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Penglibatan politik dalam merangka dasar-dasar yang lebih berfokuskan kepada isu kemiskinan bandar haruslah diperhebatkan supaya isu kemiskinan bandar dapat di atasi dengan lebih berkesan.

Hal ini kerana, masih tidak terdapat polisi yang secara khususnya memberi fokus kepada isu kemiskinan bandar selain daripada dasar kemiskinan negara secara total.

Majlis Belia Malaysia (MBM) amat memandang positif terhadap langkah proaktif kerajaan dalam merancana 40 inisiatif asas di dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang menumpukan terhadap tiga aspek utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

MBM berharap belia di Malaysia dapat mengambil manfaat di dalam pelan ini yang dilihat banyak menyentuh soal pembangunan ekonomi golongan muda di Malaysia.


JUFITRI JOHA ialah presiden Majlis Belia Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.