SURAT | Segera atasi peningkatan pengangguran
Kerajaan perlu bertindak pantas dan mengambil segala langkah yang perlu bagi mengatasi masalah peningkatan kadar pengangguran dalam negara kita dan ini termasuklah pelaksanaan segera semua pelan ekonomi seperti yang telah diumumkan.
Ini susulan pengumuman daripada pihak Jabatan Perangkaan yang menyatakan bahawa kadar pengangguran pada Mei lalu meningkat kepada 5.3 peratus, naik 0.3 peratus berbanding bulan April.
Menurut pihak Jabatan Perangkaan, dianggarkan seramai 826,100 tidak mempunyai pekerjaan pada bulan lalu berbanding dengan 778,800 orang yang dilaporkan pada bulan sebelumnya.
Penutupan sebahagian besar operasi perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April 2020 telah memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan.
Keadaan ekonomi masa kini yang dilihat suram telah menyebabkan pencari kerja juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan baru dengan segera.
Peningkatan jumlah pengangguran tidak hanya berlaku dalam negara kita, malah hampir semua negara menerima tempias yang sama akibat daripada penularan penyakit yang boleh membawa maut ini.
Kadar pengangguran dalam negara kita dijangka akan terus meningkat susulan faktor pertumbuhan ekonomi yang lembab di peringkat antarabangsa, jumlah peningkatan wabak Covid-19 dan vaksin untuk wabak tersebut belum dijumpai.
Pihak kerajaan telah mengambil banyak langkah bagi membantu setiap rakyat Malaysia termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada penghujung bulan Mac yang lalu.
Melalui pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada awal bulan Jun lepas, sebanyak RM9 bilion akan diperuntuk oleh pihak kerajaan bagi menangani cabaran kadar pengangguran dan memastikan pengekalan pekerjaan rakyat dalam negara dalam tempoh pemulihan semula ekonomi negara.
Melalui pelan Penjana ini, pihak kerajaan akan melanjutkan program subsidi upah selama tiga bulan lagi.
Subsidi ini ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja bagi setiap syarikat.
Pihak kerajaan turut memperuntukan RM1.5 bilion bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja.
Bawah program ini juga, pihak majikan akan diberi insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada penganggur dan belia melalui dua insentif iaitu yang pertama bagi mengaji penggangur di bawah umur 40 tahun sebanyak RM800 sebulan, manakala yang kedua, insentif bagi menggaji pekerja umur 40 ke atas dan Orang Kurang Upaya, sebanyak RM1,000.
Insentif ini akan diberi selama enam bulan bagi mengurangkan penganggur dan meningkatkan kemahiran.
Pihak kerajaan membenarkan mereka yang hilang pekerjaan untuk menuntut elaun latihan sehingga RM4,000 walaupun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.
Pihak kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan.
Sebanyak RM2 bilion juga diperuntukkan oleh pihak kerajaan bagi menyediakan program peningkatan kemahiran kepada golongan pengganggur dan belia yang dijangka memanfaatkan lebih 200,000 orang.
Selain daripada pengumuman pakej dan pelan pemulihan ekonomi, pihak kerajaan perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas khusus bagi mengkaji kesan penularan virus Covid-19 di semua sektor ekonomi dan pekerjaan dalam negara serta mencari jalan bagi menyelesaikan masalah berkenaan. Pihak kerajaan perlu melihat semua peruntukkan undang-undang pekerja yang ada dalam negara bagi melindungi hak pekerjaan dan proses pemberhentian para pekerja seperti Akta Kerja 1955 [265] dan Akta Perhubungan Industri 1967 [Akta 177].
Pihak kerajaan juga perlu sentiasa memberi peringatan kepada semua majikan supaya mereka tidak mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja mereka serta merta.
Mereka yang bekerja sendiri juga perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan bagi mengelakkan golongan ini terkapai-kapai untuk mencari sumber pendapatan.
Segala jenis bantuan kewangan yang telah diumumkan melalui pakej Prihatin dan pelan Penjana perlu di sampaikan dengan segera kepada semua golongan yang memerlukan.
Sebarang jenis ketirisan terhadap segala jenis peruntukan yang telah diumumkan tidak boleh berlaku.
Pengangguran di kalangan golongan belia juga harus dikawal bagi mengelakkan mereka terjebak dengan masalah sosial ataupun berhijrah ke negara asing sehingga berlakunya kehilangan sumber kepakaran tempatan ataupun brain drain.
Yang paling penting, pihak kerajaan perlu melihat kembali dasar pengambilan pekerja asing.
Memandangkan keadaan ekonomi dalam negara kita tidak menentu pada masa kini, keutamaan pekerjaan patut diberikan kepada pekerja warga tempatan dan bukannya kepada warga asing.
Sektor-sektor pekerjaan yang selalu dipelopori oleh warga asing seperti sektor pekerjaan 3D (kotor, sukar dan bahaya) perlu dilihat dan dijenamakan semula supaya rakyat tempatan khususnya golongan muda berminat menceburinya.
DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai