Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Masa untuk pelan rangsangan ekonomi khusus untuk belia

Ramai belia menganggur sepanjang tempoh wabak Covid-19 menyerang dunia. Justeru mereka amat memerlukan campur tangan ‘luar biasa’ daripada kerajaan agar dapat kembali ke landasan seperti sebelum ini.

Kebanyakan belia hilang pekerjaan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, menyebabkan mereka berdepan kesusahan hidup. Kaji selidik dijalankan mendapati tiga daripada lima belia hilang pekerjaan.

Statistik menunjukkan hampir 50 peratus belia di Malaysia telah hilang pekerjaan semasa PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac lalu.

Pada masa sama isu pengangguran belia yang menamatkan pengajian di universiti atau kolej amat serius. Melalui kaji selidik yang dijalankan sebelum PKP, enam daripada 10 graduan belia adalah penganggur. Mereka berusia antara 20 dan 24 tahun.

Data sama juga menunjukkan daripada 200,000 belia yang tamat pengajian tinggi, hanya 50,000 berjaya diupah dan bekerja selepas enam bulan menghabiskan pengajian mereka.

Keadaan ini dijangka tambah teruk dalam tempoh selepas ini.

Golongan belia harus mendapat perhatian dan dibantu kerajaan. Saya berpendapat demikian kerana mereka merupakan pemacu utama dalam pembangunan negara.

Penglibatan mereka berupaya mengekalkan pencapaian dan kemakmuran negara. Contohnya, ramai belia yang menjadi penghantar makanan FoodPanda atau GrabFood di Malaysia, dan berjaya merancak aktiviti ekonomi negara.

Cuma tidak ada peluang

Cadangan untuk menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan belia di Malaysia adalah melalui Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.

Mereka boleh bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta agar kebolehpasaran graduan-graduan belia di Malaysia dapat dipertingkatkan.

Di samping itu, kerajaan juga harus menyediakan dan mencipta peluang pekerjaan digital bagi menyambut kedatangan era Revolusi Perindustrian 4.0 yang kini rancak serata dunia.

Golongan belia mampu berperanan untuk membangunkan negara memacu ke tahap yang lebih tinggi melalui pekerjaan digital yang merangkumi simulasi dan realiti maya, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, analisis data dan automasi robot.

Seterusnya, kaji selidik yang dijalankan mendapati sebenarnya ramai belia masih berminat untuk bekerja dalam sektor 3D iaitu dirty, difficult and dangerous. Cuma mereka tidak diberikan peluang.

Oleh itu, saya menyeru kerajaan menggantikan pekerja-pekerja asing dalam sektor itu dengan golongan belia tempatan.

Kerajaan harus mengkaji semula dasar buruh asing supaya membuka peluang kepada golongan belia untuk bekerja. Saya yakin langkah ini dapat menurunkan kadar pengangguran belia di Malaysia.

Selain itu, Program Insentif Pengambilan Pekerja perlulah dilancarkan demi menugurangkan pengangguran belia di negara kita.

Kerajaan boleh menggalakkan pihak syarikat - sama ada berkaitan kerajaan atau swasta - untuk mengupah belia sebagai pekerja dengan memberikan insentif khas dan diskaun cukai syarikat. 


TAN WEI SIANG ialah anggota Parlimen Digital Malaysia (P050-Jelutong) dan  Setiausaha MPKK Taman Free School. Dia dipilih oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menyertai Parlimen Malaysia atas prestasi perbahasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.