Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT l Bertindak segera sebelum hilang negara

SURAT l Negara ini sedang melalui perkembangan bahaya. Melalui kepesatan perkembangan teknologi dan akses mudah komunikasi anak-anak muda sedang dihanyutkan jauh menjauhi naratif menyintai agama Islam dan bangsa mereka.

Mereka diajak mula memeluk erat idea-idea import Liberal Demokrat dan Liberal Sosialis yang sedang ditarbiah melalui pelbagai kaedah dan saluran.

Malah mereka juga tidak segan silu untuk menuntut bahawa Perlembagaan negara ini, memang dibentuk untuk liberal berkembang sebagai ideologi negara berbanding Islam sebagai agama negara.

Natijahnya, kini kita melihat ribuan anak-anak Melayu mula rosak.

Kita lihat hari ini, sudah mula ramai anak Melayu berbangga menganut fahaman liberal anti agama. Malah tidak segan mengaku dan memperjuangkan LGBT.

Hakikatnya mereka ini ialah sebahagian dari golongan pelapis generasi yang sepatutnya menjadi "vote bank" kepada parti-parti politik Melayu Islam yang menguasai arena politik buat masa ini.

PRU14, merupakan satu amaran awal bahawa ombak penentangan kepada politik Islam Melayu ini mampu menghakis dan meruntuhkan negara ketuanan Melayu Islam – Negara Islam Monarki Berperlembagaan!

Apabila sahaja jumlah anak muda yang mula terpengaruh ini mencapai 20 peratus "critical mass", maka segalanya sudah terlambat untuk semua parti-parti politik Melayu Islam mengatur langkah berbuat sesuatu.

Ketika itu keldai yang mereka tunggangi hari ini pun sudah tidak berguna lagi kerana mereka memiliki "Spiderman" dan "Superman" dari kalangan penganut Islam liberal yang menjadi tunggak mereka.

Menjelang PRU16 dan ke atas, model politik mereka sudah tidak lagi relevan kepada semua yang mereka rasakan menjadi "vote bank" mereka selama ini.

Persoalan apa yang parti-parti politik Melayu/Islam dapat jika tindakan diambil ke atas elemen-elemen ini sekarang, bukanlah soalan yang tepat.

Persoalan yang harus difikirkan sebenarnya ialah berapa lama lagi parti-parti Politik Melayu/Islam ini boleh bertahan jika semua perkara ini dibiarkan tidak terbendung sebelum gelombang penentangan kepada mereka menjadi besar lalu menghumbankan parti-larti ini ke muzium atau dikuburkan tanpa nisan.

Sasaran kumpulan ini yang mendapat sokongan dan latihan dari Liberal International Order ialah sembilan tahun dari sekarang. Sebelum tahun 2030!

Dengan lebih 1,000 gerakan sivil pelbagai ideologi dan hampir 3,000 huatuan Cina yang bergerak seiring dengan agenda mereka, relevansi parti politik Melayu/Islam untuk terus wujud sebagai pilihan utama anak-anak Melayu akan berakhir tidak lama lagi.

Ada sebab orang tua-tua titipkan pesanan - Jangan terhantuk baru nak tergadah. Kalau dah terhantuk buruk padahnya.

Kita sudah melihat bagaimana cara mereka memegang tampuk kerajaan. Kumpulan Muhyiddin Yassin dan kumpulan Mohamed Azmin Ali pun tak sanggup berterusan dengan mereka.

Bahkan mereka tidak pernah malu alah untuk menggunakan segala bentuk kuasa yang ada di tangan mereka untuk mematikan saingan-saingan politik mereka.

Mahkamah, undang-undang dan agensi-agensi pengiatkuasaan digunakan sewenang-wenangnya untuk mematikan pihak lawan.

Kenapa kita pula jadi penakut untuk ambil tindakan ke atas perkara yang memang dibenarkan undang-undang untuk diambil tindakan?

Bab VI boleh digunakan demi memelihara kedaulatan negara, kenapa hanya bergantung kepada Akta Hasutan? Atau adakah kita sendiri pun sudah termakan idea-idea Liberal Demokrat dan Liberal Sosialis mereka tanpa sedar sehingga menjadi begitu takut untuk menggunakan kuasa di tangan.

Bertindak segera sebelum hilang negara.


PROFESOR DATUK MAHAMAD NASER DISA adalah professor undang-undang perlembagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), juga adalah bekas peguam kanan persekutuan di Jabatan Peguam Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.