Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Maklum balas laporan bertajuk ‘Dozens of stranded tourists held in Covid-19-ridden immigration depot since May’

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merujuk kepada laporan berita bertajuk Dozens of stranded tourists held in Covid-19-ridden immigration depot since May terbitan portal berita atas talian Malaysiakini bertarikh 18 Mei 2020. JIM memandang serius laporan yang berbentuk provokatif berkenaan dan boleh menyebabkan pandangan negatif terhadap jabatan ini.

JIM tidak menahan warga asing di depot-depot imigresen seluruh negara tanpa berlunaskan undang-undang dan sebab-sebab kukuh yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan. Sebagai contoh dalam operasi penguatkuasaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan pada 1 Mei 2020 di Plaza City One, sekitar Jalan Masjid India, dan Malayan Mansion, jumlah tangkapan awal ialah seramai 591 orang. Namun begitu, setelah tapisan dibuat, sejumlah 255 orang warga asing yang mempunyai pas yang sah telah dibebaskan. Mereka yang ditahan pula didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau telah tinggal lebih masa mulai tahun 2019 atau melakukan perjalanan keluar masuk yang kerap di luar norma kebiasaan seorang pelancong.

Mengenai tahanan warganegara India, Zewdeen Kadar Masdan yang meninggal dunia pada 11 Jun 2020, beliau telah ditahan dalam operasi di sekitar Jalan Masjid India pada 1 Mei 2020. Laporan Malaysiakini mendakwa Pas Lawatan Sosial (PLS) beliau tamat dalam tempoh PKP dan wajar dibebaskan berdasarkan peraturan semasa. JIM ingin menjelaskan bahawa rekod perjalanan menunjukkan beliau kerap berulang alik ke negara ini (u-turn) dalam tempoh yang pendek. Semakan dalam sistem rekod perjalanan imigresen menunjukkan rekod pergerakan Zewdeen yang kerap keluar masuk sejak tahun 2017 sehingga terkini pada 17 Mac 2020.

Pelancong asing tulen tidak akan melakukan perjalanan dengan kekerapan seperti ini. Mereka selalunya didapati bekerja secara tidak sah atau menjalankan perniagaan.

JIM juga telah menjaga kebajikan Zewdeen dengan baik. Beliau telah dirawat di Pusat Kuarantin MAEPS, Serdang, kerana didapati positif Covid-19 pada 26 Mei 2020 dan dikeluarkan pada 7 Jun 2020. Pada 11 Jun 2020, beliau didapati tidak sedarkan diri dalam blok tahanan pada jam 6 petang. Tindakan serta merta telah diambil, beliau dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada jam 6.30 petang dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia pada sekitar jam 10 malam.

Jabatan ini berasa kesal dengan laporan Malaysiakini berkaitan perkara berkenaan yang boleh mengundang persepsi negatif masyarakat tempatan dan antarabangsa. JIM sentiasa berusaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua media arus perdana dan atas talian.


INDERA KHAIRUL DZAIMEE DAUD ialah ketua pengarah imigresen.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.