Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | PPMM sokong kaji dasar pengambilan pekerja asing

Negara bakal menyaksikan perubahan besar dalam dasar pengambilan pekerja asing dan kawalan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) selepas pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata telah tiba masanya dasar itu disemak semula susulan warga asing yang dilihat sebagai antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini serta beberapa negara lain termasuk Singapura.

Dahulu negara secara terbuka memberi harga jualan bagi setiap pekerja pada ejen tempatan atau terus pada wakil majikan untuk membekal pekerja pada mereka.

Bagi setiap pekerja Bangladesh sekiranya ejen tempatan atau terus pada wakil majikan yang setuju untuk mengambil pekerja selepas mendapat tawaran melalui perjanjian akan diberi sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 seorang, mengikut tiga peringkat pembayaran:

1. Selepas perjanjian disahkan oleh kedutaan Bangladesh di Malaysia.

2. Selepas visa rujukan dikeluarkan.

3. Selepas pekerja sampai di lapangan terbang KL.

RM3,000/ 4,000 akan pindah ke tangan ejen pekerja haram atau wakil pekerja syarikat.

Ada sesetengah urusan ejen pekerja Bangladesh akan terus berjumpa pemilik kilang atau pengarah syarikat untuk memberi tawaran rasuah tersebut.

Saya difahamkan ejen-ejen pekerja Bangladesh masih tidak mengikut perjanjian G2G dengan kerajaan Malaysia bahawa perbelanjaan yuran pekerja hendaklah diselaraskan bawah RM5,000, segala perbelanjaan servis dan duit tiket akan dibayar oleh majikan dari Malaysia.

Saya telah bertanya beberapa pekerja yang telah datang ke Malaysia sekitar bulan Mei 2018, mereka telah membayar pada ejen pekerja Bangladesh sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 seorang untuk datang bekerja di Malaysia.

Ada di antara mereka terpaksa menjual atau pajak pada bank atau pada along, tanah pusaka dan ternakan lembu, kerbau dan kambing, kerana terpaksa untuk membayar pada ejen pekerja asing mereka.

Bahaya rasuah bermaharajalela

Untuk pihak berkuasa kita yang menjaga perihal pekerja asing di bawah Kementerian Dalam Negeri, sama ada melalui kuasa politik atau pegawai bawahan, seperti bahagian kelulusan pekerja asing, penguatkuasa jabatan imigresen yang menjaga kawalan udara/ laut dan sempadan darat, pelarian Rohingya juga diuruskan oleh ejen-ejen Bangladesh ini.

Pada tahun 2018 dahulu kita dikejutkan oleh pegawai peringkat negeri dan ibu pejabat imigresen yang ditangkap dan sedang disiasat oleh pihak SPRM melibatkan wang rasuah jutaan ringgit.

Saya yakin dan percaya faktor utama untuk merasuah ahli politik dan pegawai tinggi dari KDN adalah kerana kita masih membawa masuk pekerja dari Bangladesh.

Saya merayu pada pihak PM Muhyiddin Yassin supaya meneliti isu kemasukan pekerja Bangladesh, khususnya bagi mengelakkan maruah dan intergrati kerajaan Malaysia tercemar.

Ini amalan yang diguna pakai sejak arwah Megat Junid menjadi timbalan menteri KDN dan Mahathir Mohamad pada tahun 1986.

Kita ada banyak lagi pekerja dari negara sumber yang berkebolehan untuk diambil pekerja oleh majikan-majikan yang memerlukan perkhidmatan pekerja asing, dengan syarat majikan wajib keluarkan modal untuk membayar perbelanjaan pekerja asing untuk diuruskan oleh ejen dari negara mereka.

Lagipun pihak majikan akan berasa lebih bertanggungjawab pada pekerja asing mereka setelah segala perbelanjaan urusan pekerja asing diuruskan oleh pihak majikan Malaysia.

Dulu mereka boleh disogok untuk mengambil pekerja tetapi dengan peraturan baru bagi pekerja-pekerja selain warganegara Bangladesh mereka perlu bayar untuk mengambil setiap pekerja asing.

Dan pohon menteri kaji balik atas lantikan vendor urusan visa pekerja asing dan pelancong di luar negara.

Kerajaan perlu kembalikan kerja hakiki Jabatan Imigresen yang telah lama diswastakan kepada vendor yang tidak sepatutnya menjalankan kerja-kerja melibatkan aspek keselamatan negara.

Malah, Jabatan Imigresen sendiri sudah berjaya membangunkan sistem pengambilan pekerja asing.

Hal ini dapat dibuktikan dengan pembangunan sistem imigresen seperti MyOnline Pasport dan Sistem Maid Online.

Setakat ini dua vendor telah diambil tindakan iaitu Sistem Pengambilan Pekerja Asing (SPPA) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang menjalankan sistem permohonan visa atas talian dan dimonopoli oleh kerajaan terdahulu yang melihatkan mantan ahli-ahli politik negara terdahulu.

Akhir kata kerajaan hendaklah kaji hukuman mandatori, seperti penjara seumur hidup atau hukuman mati dikenakan pada tekong dan ejen-ejen yang didapati menjadi dalang penyeludupan Pati ke negara ini.


LT COL (H) CHE HASSAN CHE JOHAN ialah Presiden Persatuan Penguna Melayu Malaysia (PPMM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.