Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | 'Surat letak jawatan Dr M sah, tapi kekal pengerusi kerana menang tanpa bertanding'

Berlaku pertikaian mengenai kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu. Dr Mahathir telah meletakkan jawatan pada 24 Feb 2020.

Oleh kerana berlaku pertikaian berkenaan dengan status pengerusi Bersatu, Pendaftar Pertubuhan telah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 16 Akta Pertubuhan 1966 bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.

Pendaftar juga diberikan kuasa yang luas di bawah seksyen 3A Akta yang sama, bagi memastikan kelicinan urus tadbir pertubuhan-pertubuhan di Malaysia.

Pendaftar telah menggunakan dokumen berupa surat rasmi perletakan jawatan oleh Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu. Walaupun media melaporkan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 25 Feb 2020 menolak peletakan jawatan Dr Mahathir, namun tiada dalam mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu menyatakan peletakan jawatan seseorang pegawai boleh diatasi oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

Tiada juga dalam mana-mana peruntukan perlembagaan Bersatu yang secara tersurat atau tersirat menyatakan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi mempunyai kuasa untuk menentusahkan pelantikan atau pemberhentian jawatan pegawai Bersatu.

Jika Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk menghalang sesiapa dari meletak jawatan, ia telah menidakkan hak asasi dan kehendak seseorang untuk berpersatuan/tidak berpersatuan.

Parti juga tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sesiapa untuk keluar dari parti, jika diingini oleh seseorang ahli tersebut.

Oleh yang demikian, walaupun Majlis Pimpinan Tertinggi menolak perletakan jawatan Dr Mahathir, ia merupakan pendapat MPT sahaja tanpa mempunyai asas perlembagaan.

Maka, sudah tentu ketertiban yang unggul adalah dengan Dr Mahathir sendiri mengemukakan surat menarik semula peletakan jawatan beliau. Ini tidak pernah dilakukan oleh Dr Mahathir. Maka, peletakan jawatan oleh Dr Mahathir adalah sah dan berkuat kuasa.

Secara teknikalnya, dokumen yang ada untuk menjadi rujukan kepada Pandaftar Pertubuhan hanyalah surat peletakan jawatan Dr Mahathir sahaja. Dan ini yang menjadi asas rujukan kepada keputusan Pendaftar Pertubuhan dalam memutuskan status jawatan Pengerusi Bersatu pada 5 Mei 2020.

Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu sememangnya tidak pernah menganggap diri beliau sebagai pemangku pengerusi, sebelum pengumuman dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan.

Ini kerana presiden tidak mahu melangkaui batas kuasa yang diberikan kepadanya dalam perlembagaan Bersatu.

Adalah tidak dipertikaikan bahawa apabila pengerusi Bersatu meletak jawatan, presiden akan memangku jawatan pengerusi sehingga pemilihan yang sah diadakan. Ini selaras dengan Fasal 16.9 perlembagaan Bersatu.

Walaubagaimanapun, Dr Mahathir telah dipilih semula sebagai pengerusi menang tanpa bertanding berdasarkan keputusan pencalonan parti pada bulan Mac 2020.

Ini bermakna Dr Mahathir tetap akan dilantik semula ke jawatan tersebut apabila pemilihan parti dimuktamadkan kelak.

Justeru, semua pihak perlu bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi serta bersabar sehingga pemilihan parti dimuktamadkan nanti.


MOHAMAD SIDDIQ AZANI merupakan ketua penerangan Pemuda Bersatu (Armada) Putrajaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.