‘Kritikan Daroyah terhadap keputusan MPP tak wajar’
Keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) baru -baru ini untuk memecat serta menggantung keahlian beberapa anggota parti berikutan kemelut politik “Langkah Sheraton” sememangnya bukan suatu keputusan yang diambil secara terburu-buru seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Sebagai ahli MPP sendiri, YB Dr Daroyah Alwi tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan MPP dengan mengeluarkan kenyataan media.
Pertama sekali, pada pendapat saya, MPP telah mengambil masa yang sewajarnya untuk meneliti dan membincangkan aduan-aduan berkenaan angkara serta aktiviti “pengkhianatan” sebelum mencapai keputusan tersebut.
Sudah tentunya kenyataan saudari Daroyah menimbulkan beberapa persoalan.
Adakah saudari hadir, ponteng mahupun diam membisu ketika mesyuarat MPP membincangkan berkaitan pemecatan dan penggantungan anggota dijalankan?
Sebagai salah seorang daripada ahli MPP, dalam kapasiti beliau sebagai Timbalan Ketua Wanita parti, amanat ahli MPP adalah untuk mengambil tanggungjawab dengan menghadiri, membincangkan dan mencapai kata sepakat pada setiap mesyuarat MPP.
Sekiranya keputusan sudah diambil dengan persetujuan semua ahli MPP, adakah ini bermaksud bahawa saudari Daroyah bersetuju mahupun tidak bersetuju atau berkecuali dalam keputusan yang dicapai MPP?
Tindakan saudari untuk menyiarkan kenyataan media di luar mesyuarat MPP sebagai anggota parti serta ahli MPP merupakan langkah yang tidak masuk akal bagi saya.
Sudah pasti, keputusan yang dilakukan oleh MPP bukanlah senang terutama sekali apabila ia melibatkan sesama ahli parti dimana semangat setiakawan telah dibina selama betahun-tahun.
Tetapi angkara “pengkhianatan” terbuka ini merupakan suatu situasi yang agak luar biasa dan belum pernah terjadi sebelum ini.
Pada pendapat saya, saudari Daroyah sudah sedia maklum bahawa sesetengah ahli yang dipecat dan digantung keahlian adalah mereka yang terlibat secara langsung dalam episod pengkhianatan ke atas parti.
Pimpinan parti turut bersabar dengan dugaan ini dan telah mengikuti perkembangan proses yang diterajui MPP berlandaskan Perlembagaan parti.
Pendek kata, keputusan MPP untuk menyarankan pemecatan 348 ahli parti dan menggantung keahlian 285 sesetengah anggota bukan dibuat secara “hentam keromo”.
Oleh yang demikian, sekiranya sesetengah ahli yang terkesan dengan keputusan MPP dan menganggapnya sebagai tidak adil mahupun melanggar prinsip demokrasi disaran untuk mengambil tindakan rayuan dengan serta merta.
Tiada sebab untuk MPP mahupun Lembaga Disiplin untuk tidak mendengar mahupun mempertimbangkan rayuan ahli tersebut sekiranya rayuan tersebut berasas.
Sekiranya saudari Daroyah masih berasa tidak puas hati dengan keputusan samada sebelum atau selepas rayuan ahli parti yang terjejas, adalah lebih baik untuk anda menyertai kumpulan pengkhianat dengan keluar daripada parti.
Rungutan serta tohmahan bahawa MPP, Lembaga Disiplin serta presiden parti bersekongkol dalam mengambil keputusan haruslah disangkal dahulu.
Parti PKR kini dalam proses pembinaan semula. Dalam kemelut wabak Covid-19, sudah pasti semua ahli mempunyai masa untuk merenung serta mencari iktibar dari situasi ini.
Saya yakin kita mampu mengharungi cabaran ini bersama-sama.
SANGETHA JAYAKUMAR ialah naib ketua Wanita PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai