Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Tulisan Kian Ming melaga-lagakan Umno dan Bersatu'

SURAT | Tulisan Ong Kian Ming dalam Malaysiakini dan The Malaysian Insight pada 24 April yang banyak memburukkan Umno dilihat lebih kepada perancangan jahat untuk memecah-belahkan hubungan baik gagasan ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) yang tentunya menyelamatkan negara ini daripada regim PH yang sempat memerintah selama 20 bulan.

Sudah tentu DAP dan konco-konco mereka daripada PKR dan Amanah terus-menerus membuat serangan kepada Umno, PAS dan Bersatu kerana mereka tahu bahawa survival politik PH terletak kepada hasutan dan fitnah adu domba.

PH tahu mereka telah hilang sokongan daripada rakyat akibat kegagalan dan kerakusan mereka dalam pentadbiran negara sebelum ini.

DAP tentunya meratib fitnah-fitnah seperti kerajaan PN ini tidak akan kekal lama, pemimpin PN berebut jawatan dan macam-macam lagi isu yang sengaja direka demi menenggelamkan kejayaan kabinet baru yang dibentuk ini.

Hakikatnya, ahli parlimen PN ini jauh lebih berkualiti, berintegriti dan bermaruah daripada barisan pembangkang PH.

Belum pun sampai 60 hari memerintah negara, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berjaya menangani masalah mengekang virus Covid-19 yang gagal dikekang pada zaman PH memerintah.

Keberkesanan ini disambut dengan ketegasan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob dalam membuat pernyataan kepada media dengan mesej-mesej yang penting dan mudah difahami oleh rakyat.

Ini disambut dengan pakej rangsangan ekonomi bermanfaat kepada majoriti rakyat segenap lapisan masyarakat pelbagai segmen.

Rakyat boleh menilai

Dalam dua belanjawan kerajaan PH sebelum ini, rakyat luar bandar tidak diberi perhatian. Pada kali ini perdana menteri telah memberi suntikan semangat, belanjawan dan perancangan yang amat baik sekali kepada rakyat di luar bandar, khususnya golongan B40.

Menteri sendiri turun padang dan mengarahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui agensi-agensinya agar memastikan semua rakyat merasai kesan dan impak pembangunan fizikal dan nonfizikal ini tanpa mengira ideologi parti secara tuntas.

Tidak timbul langsung soal berebut kerusi dan jawatan daripada pihak Umno, Bersatu dan PAS kerana kita semua tahu matlamat utama ialah menyelamatkan Malaysia daripada menuju kehancuran dengan menumbangkan kerajaan PH yang penuh kebobrokan dan muslihat.

Malah, rakyat sendiri mengakui serta yakin bahawa kerajaan PN ini telah berjaya mengukuhkan kembali semangat keharmonian di antara kaum dan agama di negara ini.

Pemuda Umno Kelantan secara kolektif mengecam penulisan Ong Kian Ming yang berniat jahat kepada kerajaan PN dengan usaha ingin melaga-lagakan pimpinan Umno dan Bersatu.

Rakyat boleh menilai kerajaan PN pada hari ini lebih menjaga kebajikan dan mendengar segala keluhan denyut nadi rakyat. Apa yang penting, negara kita aman dan stabil.

 


NOOR HARIRI MOHAMED NOOR ialah ketua Pemuda Umno Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.