Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mohd Asri cocok jadi menteri agama Muhyiddin

Walaupun masa kelihatan amat suntuk, izinkan saya menulis catatan ringkas buat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang akan mengumumkan barisan kabinetnya petang ini.

Catatan ini disiapkan hanya kira-kira satu jam sebelum perdana menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Melihatkan keadaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu, besarlah harapan saya agar Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, diberi tempat dalam kabinet baru.

Sementelah kita melihat bagaimana perdana menteri mengadakan pertemuan dengan Mohd Asri semalam. Dan sebelum itu kita juga melihat beliau begitu mesra bersemuka dengan ahli parlimen PAS.

Sudah tentu jawatan yang paling sesuai buat Mohd Asri ialah menjaga hal ehwal Islam. Maka tempatnya ialah di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau merupakan tokoh agama peringkat nasional - dan internasional - yang dikenali ramai, tanpa mengira peringkat usia serta kedudukan.

Mohd Asri dikenali kakitangan kerajaan, selalu berurusan dengan ahli politik, malah pandangannya yang tidak ekstrem dalam agama disenangi pelbagai kumpulan, termasuk kelompok penting dalam negara yang berpendekatan liberal.

Bukan itu sahaja, namanya juga disenangi oleh beberapa pusat kajian Islam kontemporari dan mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa negara termasuk Arab Saudi.

Sayang benar jika tokoh sehebat Mohd Asri tu dibiarkan sekadar menjadi pengkritik bebas atau 'bersilat' di surau-surau, masjid-masjid serta pusat akademik sahaja.

Mohd Asri mempunyai latar pengajian yang dekat dengan ramai tokoh politik PAS hari ini.

Justeru tidak menjadi masalah besar untuk mereka bekerjasama dalam membangunkan hal ehwal Islam di bawah kerajaan Perikatan Nasional di negara ini.

Mereka berfikrah sama kecuali dalam satu dua perkara sahaja.

Berkemungkinan Mohd Asri juga tokoh agama yang rapat dengan beberapa istana negeri khususnya Perlis.

Mutiara bernilai sebegitu menjadi pasak penguat kepada kerajaan Muhyiddin ketika sokongan demi sokongan mula muncul.

Di belakang Mohd Asri pula ada pelbagai kumpulan seperti ahli akademik, pelajar dan pendukung gerakan Islam yang syumul dan cenderung kepada pendaualatan sunnah Nabi Muhammad SAW.


Abdullah al-Mursyid ialah pembaca Malaysiakini yang aktif dengan gerakan menghidupkan sunnah nabi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.