Kepelbagaian suatu ‘sunnatullah’
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyatakan keprihatinan kami terhadap isu yang melingkari kefahaman masyarakat berkaitan perayaan dan kebudayaan kebangsaan yang menjadi polemik seperti isu perayaan Ponggal, isu tanglung dan tahun baru Cina, polemik Jawi, dan isu keutamaan Bahasa Melayu dalam acara rasmi.
Kami merujuk kepada maklum balas masyarakat terhadap surat pekeliling yang diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 13 Januari 2020 berhubung garis panduan kepada warga sekolah beragama Islam berhubung perayaan pesta Ponggal.
Pekeliling tersebut adalah berdasarkan keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kali ke-100 pada 8 dan 9 April tahun lalu.
Pekeliling itu turut menggariskan beberapa syarat daripada Jakim seandainya orang Islam perlu hadir pesta Ponggal dengan alasan tertentu.
Dalam perkembangan sama, Abim merujuk tulisan Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah berkaitan isu Muslim Menyertai Pesta Ponggal yang telah diterbitkan pada 29 Januari 2019.
Polemik lain yang berkaitan penyertaan Muslim dengan perayaan agama lain atau yang terkait seperti isu penghiasan tanglung di sekolah sempena tahun baharu Cina dan sebagainya, adalah juga dirujuk.
Abim berpendirian bahawa isu ini adalah suatu perkara yang tidak perlu diperpanjang atas kesedaran bahawa garis panduan yang berkaitan dengannya adalah jelas dan mesti dihormati, khasnya bagi masyarakat beragama Islam, dan juga institusi awam.
Walaupun begitu, tanpa menafikan kepentingan saling mengenali dan memahami dalam konteks silang budaya dan multi budaya di Malaysia, Abim bersetuju bahawa kecaknaan tentang kebudayaan masyarakat berbilang kaum wajar diketengahkan kepada warga seluruhnya bagi memanifestasikan semangat "taayyush" (co-existence).
Sebagaimana disarankan pihak autoriti termasuk saranan Jakim dan mufti Wilayah Persekutuan, sekiranya seseorang Muslim perlu menghadiri acara berkaitan program keagamaan, maka wajarlah untuk mematuhi garis panduan khasnya dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang upacara berbentuk ritual keagamaan.
Khususnya dalam kalangan pemimpin, menghadiri undangan sebagai tanda penghormatan kepada warga yang dipimpin adalah suatu yang tidak terelakkan. Sifat toleransi antara pemimpin dan rakyat ini akan menjadi satu simbol penyatuan yang utuh dalam membangun sebuah negara yang aman dan harmoni. Namun begitu, batas-batas agama adalah wajar untuk tidak dilangkaui.
Abim menegaskan bahawa warga Malaysia perlu sentiasa menghargai kepelbagaian yang merupakan suatu "sunnatullah" dan juga realiti yang perlu kita santuni dan tanggapi sebaiknya, namun perlu menjaga sensitiviti tertentu khasnya dalam aspek keagamaan.
Dalam masa yang sama, Abim meyakini bahawa institusi awam khususnya institusi pendidikan wajar dan wajib menjadi ruang sosialisasi untuk memupuk perpaduan dan semangat cintakan negara dalam kalangan warganegara sejak di bangku sekolah lagi.
Abim sekali lagi menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan warga adalah suatu yang tidak ternilai dan perlu dicermati sebaiknya. Budaya penerimaan, penghormatan dan dialog dalam kalangan warga adalah penting dan perlu dibudayakan, berbanding terus-menerus membangkitkan polemik yang tidak berkesudahan dan merugikan.
Abim merupakan pendukung kepada usaha perpaduan, dengan berpegang teguh kepada tiga asas sebagaimana digariskan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK):
1) berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini;
2) unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima; dan
3) Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.
MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH ialah setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai