Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemilihan Bersatu jangan jadi macam PKR

Semua sedia maklum bahawa setiap parti politik akan melalui fasa pemilihan parti. Fasa ini sangat penting buat setiap parti dan ahli kerana tanpa fasa pemilihan, perjalanan parti tidak mampu digerakkan dengan baik dan untuk membentuk sesebuah parti haruslah mempunyai kecekapan menguruskannya.

Tanggal 9 Mei 2018 adalah tarikh keramat dalam perjalanan sejarah sebuah negara bernama Malaysia. Dari sudut mana kita sebagai rakyat untuk menginterpretasinya, terpulang. Tapi faktanya, pemerintahan negara telah bertukar kerajaan daripada BN kepada Pakatan Harapan.

Gabungan empat parti iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu adalah teras kepada perjalanan sebuah negara bernama Malaysia. PKR dan DAP antara parti politik yang jauh makan garam dan sepak terajang dalam arena politik pembangkang di Malaysia suatu masa dahulu sebelum tertubuhnya Amanah dan terakhir muncul Bersatu.

Dan sepanjang bertukar daripada menjadi parti pembangkang kepada parti kerajaan, pelbagai drama politik disajikan. Misalnya kontroversi dalam PKR yang begitu panjang, bermula pada pemilihan parti yang timbulkan dengan pelbagai kekocohan hinggalah kepada pergaduhan di majlis persidangan tahunan mereka. Itu tidak diambil kira semasa menjadi parti pembangkang. Barangkali bagaimana pula dengan parti-parti lain terutama parti Bersatu yang katanya pencalonan akan berlangsung dalam masa terdekat ini?

Persoalan besar timbul dulu dalam PKR semasa pemilihan bagaimana datangnya ahli yang begitu ramai dalam suatu masa yang singkat menjadi sejarah hitam pemilihan parti tersebut. Jika perkara yang sama berlaku dalam masa terdekat terhadap Parti Bersatu, apakah parti Bersatu telah bersedia dengan situasi yang sama?

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu, Syed Hamid Jaafar Albar mengumumkan Bersatu akan mengadakan pemilihan bermula dari peringkat cawangan dan bahagian serta hingga ke jawatan tertinggi parti tersebut yang mana masing-masing akan dijadualkan berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan.

Pemilihan kali ini dilihat sebagai satu titik tolak dan penanda aras kepada kelestarian parti tersebut tapi selang beberapa hari selepas daripada pengumuman tersebut, suara-suara akar umbi Bersatu dikatakan sedang berada dalam gelojak rasa, ketidakpuasan kepada kecekapan setiausaha agung sendiri sudah berada di tahap yang kritikal.

Kepincangan pengurusan terutama senarai ahli yang tidak selari dengan yang telah didaftarkan dan dikeluarkan dari ibu pejabat parti menjadi persoalan besar. Ditambah pula ini kali pertama Bersatu akan memperkenalkan sistem pengundian satu ahli satu undi. Jadi ini akan memberi kesan kepada para ahli untuk mengambil bahagian dalam pemilihan.

Ada nama didakwa berpindah bahagian dan ada pula didakwa hilang dalam senarai untuk pemilihan. Tidak terhenti dengan kegusaran akar umbi terhadap kecekapan dalam menguruskan data, para ahli akar umbi dikejutkan pula dengan penangguhan tarikh penamaan calon yang mana sepatutnya dibuat pada 13 Januari lalu telah ditunda 26 Januari nanti.

Walaupun pemilihan kali ini dilihat ruang pendemokrasian itu terbuka dengan luas selepas pengumuman oleh pengerusi jawatan kuasa pemilihan membenarkan semua jawatan di peringkat tertinggi dipertandingkan. Namun harus diingat, selagi para ahli boleh memilih, pilihlah yang selayaknya kerana dalam mengangkat ruang demokrasi, proses-proses pemilihan haruslah beretika bermula dengan calon yang bakal bertanding itu sendiri.

Para ahli harus mengenali calon-calon mereka dan sebolehnya biarlah calon yang dipilih adalah mereka yang bebas daripada kesalahan jenayah, muflis, calon yang telah menjadi ahli lebih daripada satu tahun daripada pertandingan dibuat serta menolak calon-calon kontroversi yang boleh menjejaskan kredibiliti parti seperti sijil palsu yang sering dikecohkan suatu masa dulu.

Menjelang pemilihan parti Bersatu ini, angkatlah pemimpin yang mampu membantu Dr Mahathir Mohamad untuk mentadbir parti yang selama ini telah banyak berkorban dalam membawa agenda dalam meletakkan negara kembali ke landasan yang sepatutnya.


NUR FATIHAH ialah seorang pembaca Malaysiakini dan pemerhati politik tempatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.