Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Fokus isu semasa dan akan datang, bukan abu mayat Chin Peng

Saya menyeru semua pihak, terutamanya rakan-rakan dari PH, agar terus memberikan fokus kepada isu-isu yang berlaku sekarang serta bersedia untuk perkara yang akan datang, terutamanya dalam hal ehwal ekonomi.

Mengenai isu abu mayat Chin Peng, biarlah ia ditangani oleh sejarawan.

Hal ini kerana isu tersebut dibangkitkan oleh parti pembangkang yang kehilangan modal dan memerlukan publisiti.

Justeru, kita tidak perlu menarik mengikut rentak mereka dengan membincangkan isu ini.

Jika kita terus membincangkan isu ini, kita tidak akan mendapat apa-apa hasil yang produktif.

Sebagai kerajaan, kita sepatutnya fokus kepada isu sebenar terutamanya isu kos sara hidup rakyat, bukannya membincangkan isu yang tidak membawa produktiviti.

Saya berpendapat kita perlu mengambil iktibar dari sejarah supaya tragedi itu tidak berulang lagi. Pada waktu yang sama kita menerima hakikat bahawa Perjanjian Damai Hatyai itu menandakan tamatnya perjuangan Parti Komunis Malaya dengan kerajaan Malaysia.

Bekas Ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor sendiri berkata, kalau Chin Peng boleh balik, mengapa abunya tidak.

Oleh itu, pertikaian mengenai abu seseorang yang meninggal dunia enam tahun lepas jika dipolemikkan berterusan boleh mengganggu ketenteraman negara.

Ia kemudian akan dibandingkan dengan Noordin Mat Top yang didakwa terlibat dalam pengeboman Hotel Jakarta dan mengorbankan sembilan nyawa.

Beliau terbunuh dalam serbuan polis Indonesia dan selamat dikembumikan di kampung kelahirannya di Pontian, Johor.


CHEO YEE HOW ialah Adun Perling, Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.