Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemandu e-hailing usah besar kepala

Kami bersetuju dengan dakwaan pihak e-hailing yang mengadakan perhimpunan di Kementerian Pengangkutan dan mendakwa menterinya, Anthony Loke, memungkiri janji.

Loke memungkiri janjinya pada 11 Julai 2018 yang lalu untuk mewujudkan keadaan persaingan yang sama rata antara pemandu teksi dan pemandu kenderaan e-hailing.

Mengikut peraturan yang diwartakan pada tahun lalu, semua aktiviti kenderaan e-hailing diwajibkan mematuhi peraturan sama seperti pemandu teksi.

Namun pada 7 Mei lalu menteri memungkiri janjinya untuk mewujudkan keadaan itu dengan memberi kelonggaran kepada pemandu kenderaan e-hailing yang tidak perlu pergi ke cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menukar kod kegunaan kenderaan.

Kita harus faham, memberi kelonggaran bukan bererti menghapuskan ketetapan peraturan yang sudah diwartakan.

Pemandu-pemandu kenderaan e-hailing tidak sepatutnya menunjukkan mereka sebagai besar kepala dan mahu kerajaan mengikut kehendak mereka.

Sepatutnya mereka perlu belajar bersyukur dan berterima kasih kepada menteri kerana memberi mereka peluang, masa dan kelonggaran yang tidak pernah diberikan kepada kami.

Pindah ke dalam hutan

Menjawab isu berkaitan kebimbangan berlakunya kesukaran untuk menjual semula kenderaan yang mempunyai kod AH dan harga yang bakal jatuh merudum, mereka seharusnya menerima hakikat.

Apakah mereka mahu mendesak kerajaan bersubahat dengan mereka untuk menipu pembeli kereta terpakai?

Saya secara peribadi ingin menasihati mereka, jika kamu tidak mahu dilanda ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Peraturan sudah termaktub. Kenderaan e-hailing perlu menukar kod kegunaan sama seperti teksi.

Apa susah sangat? Ikutlah sajalah. Kalau Teksi boleh ikut peraturan menukar kod kegunaan kenderaan, kenapa pemandu kereta e-hailing tidak?

Kalau memang tak boleh mengikut peraturan, saya cadangkan mereka pindah duduk dalam hutan.

Lagi satu, jangan ingat pihak peniaga kenderaan terpakai atau orang awam semuanya bodoh. 

Sudah pastilah sebelum membeli sesuatu kenderaan, mereka pasti akan lihat jumlah perbatuan kenderaan terlebih dahulu dan membuat semakkan di JPJ.

Untuk menyelesaikan isu besar kepala ini, Loke perlu kembali kepada dasar PH iaitu melaksanakan prinsip kedaulatan undang-undang. Jangan berkompromi lagi dengan pihak-pihak yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur.

Jika ingin berniaga, mereka perlu mengikut peraturan sedia ada, bukannya menuntut peraturan sedia ada dilonggarkan.


KAMARUDIN MOHD HUSSAIN ialah yang dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.