Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bertanya fatwa pada Maza

Ke hadapan Tuan Mufti Sahibus Samahah Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Maza).

Saya menulis warkah terbuka ini dengan saya penuh sedar tentang ketinggian ilmu tuan dan prinsip mempertahankan Islam serta keaslian sumbernya di tanah air ini.

Pengalaman awal saya mengenali tuan sebagai pakar hadis dan keluasan pembacaan kitab-kitab turath bermula ketika saya membaca buku Travelog Minda Tajdid suatu masa dulu.

Ketika itu saya berada di tahun satu pengajian sarjana muda syariah dan ekonomi Islam di Jordan. Ya, ia adalah negara yang sama menjadi tempat pengajian tuan sebelum ini.

Saya kagum kepada penjelasan tuan terhadap isu-isu semasa di tanah air yang dibuat berpaksikan kepada kefahaman mantap daripada nas al-Quran dan hadis sehingga semakin jelas Islam ini relevan sepanjang zaman.

Saya masih ingat syarahan tuan ketika menjadi panel dalam persidangan bertemakan siyasah syariah pada 2013. Secara khusus tuan mengulas tajuk Mentaati Pemerintah: Antara Literal dan Maqasid.

Tuan mengingatkan kami tentang ketaatan kepada pemimpin itu penting untuk kemaslahatan politik, namun ia ada batasnya. Justeru bantahan kepada pemimpin juga penting dengan menjaga batasnya.

Saya yakin prinsip itu masih menjadi pegangan erat tuan.

Jadi bahan dalam kuliah

Kerana itu fatwa pertama yang ingin saya rujuk pada tuan adalah berkaitan kerajaan hari ini. Benarkah seperti dakwaan tuan, Islam tidak lagi selamat di bawah kerajaan hari ini?

Adakah ia berpunca daripada suara sesetengah golongan yang ingin mengusir seorang pendakwah terkenal maka Islam di Malaysia kini tidak lagi selamat?

Bukankah keputusan mengekalkan beliau dalam negara adalah keputusan kabinet? Saya hairan dengan dakwaan mengenai ancaman terhadap Islam ini. Mengapa ia dilontarkan?

Sedarkah tuan, pandangan tuan itu telah ditunggang dengan sehabis baik oleh sesetengah kumpulan sehingga ia gigih ditempel dalam siri fitnah yang didendangkan saban malam melalui kuliah-kuliah agama dan sebaran-sebaran mesej WhatsApp?

Masyarakat Muslim bergaduh sesama sendiri dengan mesej kononnya Islam terancam di negara ini. Apakah indikator dan metodologi penilaian yang digunakan tuan untuk mengabsahkan dakwaan tersebut?

Besar benar harapan saya agar tuan - dalam ruang luas yang tersedia ini - bersama-sama membuat islah kepada kerajaan baru yang sama-sama dikempen secara tidak lansung oleh tuan dulu.

Bukankah itu lebih baik daripada melontarkan sentimen yang hanya membuat masyarakat cemas dan gelisah setiap hari?

Beberapa ralat yang ada

Dalam bab menegur pemimpin juga, teringin benar saya bertanya apakah ulasan tuan dalam kes tuduhan cabul remaja 15 tahun oleh seorang sahabat tuan sebelum ini?

Selepas tiga kali gagal hadir ke mahkamah untuk prosiding pengurusan kes, apabila dibicarakan, akhirnya kes itu digugurkan setelah mangsa memutuskan tidak mahu meneruskan perbicaraan. Pelik, sangat pelik.

Hati saya geram membaca berita itu yang diiringi paparan wajah sahabat tuan yang tenang menghadapi wartawan. Terngiang-ngiang kisah yang sering tuan sebut tentang jeritan seorang Muslimah: “Wahai khalifah Muktasim, tolonglah aku!”.

Ia kemudian dibalas dengan sepucuk surat daripada Khalifah Muktasim kepada "anjing-anjing Rom".

Fatwa kedua yang ingin saya tanyakan ialah berkenaan kempen Buy Muslim First. Izinkan saya bertanya dan harapnya saya tidak digelar "bodoh tak bertebing" pula.


Baca Semoga jasa Dr M tak dilupa kerana salah pilih pengganti


Saya berasakan ada ralat yang cukup besar dalam kempen berkenaan. Waktu kemunculannya, pihak yang menganjurkannya, dan akhir sekali kaedah dan mesej saudara semuslim yang berkempen untuknya.

Lebih ralat adalah sokongan tidak berbelah bahagi tuan kepada kempen seperti itu. Adakah tuan kini melihat pada teks kempen saja dan terlepas pandang pada konteksnya?

Di mana suara rasional, suara perpaduan dan suara kemajmukan yang menjadi suara tuan selama ini?

Ingatkah tuan pada ulasan tuan tentang kedai dobi khusus untuk Muslim itu dulu?

Saya kongsikan di sini untuk ingatan kita bersama: “Semua pandangan yang sempit seperti ini akan membawa negara kita ke arah ekstremisme dan hilang imbangan untuk hidup dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya. Islam itu agama yang hidup dan bereaksi dengan persekitaran secara seimbang. Fikah itu ke arah memudahkan bukan menyusahkan.”

Fatwa terakhir ingin saya tanyakan adalah berkenaan warkah tuan kepada Dr Mahathir Mohamad.

Warkah penuh emosi yang disulam dengan kisah Rajak bin Haiwah, seorang penasihat kerajaan Umayyah yang soleh dan kisah Khalifah Abu Bakr al-Siddiq yang mencadangkan agar Sayidina Umar al-Khattab sebagai pengganti beliau.

Tuan mengingatkan Mahathir agar jangan sampai kuasa jatuh ke tangan si rakus yang sanggup menggadaikan apa sahaja untuk kehendak dirinya.

Siapakah si rakus itu? Adakah ia merujuk kepada Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai perdana menteri kelapan mengikut kesepakatan PH dulu?

Adakah tuan menyerukan Mahathir melanggar konsensus itu sedangkan umat Islam memang terikat dengan perjanjiannya?

Tahukah tuan bahawa Anwar berulang kali menasihatkan anggota partinya - yang sering mendesak Mahathir melepaskan jawatan - supaya patuh pada konsensus PH yang menetapkan Mahathir sebagai perdana menteri?

Begitu juga Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menolak pencalonan perdana menteri apabila PKR mendapat jumlah kerusi terbanyak di parlimen demi menghormati konsensus yang dibuat.

Adakah itu termasuk dalam perbuatan rakus?

Mungkin Anwar perlu menghadap tuan untuk membuktikan dirinya tidak rakus dan menjamin Islam tidak terancam kelak.

Melihat sejarah, ketika Anwar menjadi menteri pendidikan, beliaulah yang menggubal dasar memberi biasiswa dan menghantar pelajar cemerlang untuk belajar agama dan bahasa Arab di Timur Tengah.

Hasilnya rakyat Malaysia melihat tokoh agamawan yang hebat seperti Dr Zahazan Mohamed, Erfino Johari, Dr Maszlee Malik, dan tuan sendiri.

Besarlah harapan saya agar tuan terus tekal menjadi jurubicara umat Islam, menjadi penyatu rakyat, dan membimbing kami dengan kebenaran dan hujah, bukan emosi yang disembunyi oleh nas di sebalik kopiah.


ARHAM MERICAN ialah anggota majlis syura International Islamic Federation of Students Organization (IIFSO).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.