Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jangan kekang wacana rakyat dan forum Statut Rom

Kami merujuk kepada laporan berita bahawa bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap terhadap forum "Malaysia and the Rome Statute" yang diadakan pada Sabtu, 27 Mei 2019 di Universiti Malaya.

Menurut Ketua Polis Negara, Mohamamad Fuzi Harun, siasatan dibuat di bawah Akta Hasutan berikutan beberapa laporan polis yang telah dibuat oleh beberapa pihak.

Kami mengambil pendirian bahawa forum tersebut adalah suatu forum ilmiah untuk membincang isu berkaitan Statut Rom secara akademik, sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu membenarkan kebebasan akademik di institusi-institusi pengajian tinggi.

Atas dasar ini, kami membantah tindakan PDRM untuk memulakan siasatan ini dan berpandangan forum ilmiah sebegini tidak wajar dibungkamkan melalui tindakan undang-undang kerana dilihat sebagai suatu usaha menghalang wacana rakyat mengenai isu Statut Rom.

Walaupun PDRM memulakan siasatan kerana laporan-laporan polis yang telah dibuat, namun PDRM masih mempunyai budi bicara untuk tidak memulakan siasatan, apatah lagi sekiranya laporan-laporan polis yang dibuat langsung tidak berasas kerana hakikatnya forum tersebut adalah forum ilmiah.

Mereka berhak untuk tidak bersetuju dengan Statut Rom tetapi mereka tidak wajar untuk mendesak PDRM supaya mengambil tindakan terhadap individu yang mengamalkan hak mereka untuk berdiskusi mengenai isu tersebut.

Kami juga membantah penggunaan Akta Hasutan yang merupakan undang-undang peninggalan penjajah yang zalim dan menekan, serta merupakan suatu sekatan tidak munasabah dan tidak berkadar ke atas kebebasan asasi yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

PDRM sepatutnya menggunakan undang-undang lain yang sedia ada selain Akta Hasutan untuk membuat siasatan, sekiranya benar-benar perlu.

Kami menggesa PDRM untuk menghentikan segala siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap mereka yang terlibat dengan forum tersebut.

Kami juga sekali lagi menggesa pihak Kerajaan untuk mempercepatkan usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan seperti yang telah dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Harapan.


FARHAN HAZIQ MOHAMED adalah ketua DAPSY Subang dan ahli majlis MBPJ manakala SYAHREDZAN JOHAN pula adalah setiausaha politik ahli parlimen Iskandar Puteri.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.