Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

Yusof: Jangan anggap pujuk isteri petanda suami 'kalah'

Meskipun beranggapan dirinya bukan manusia sempurna, penerbit dan pengarah terkenal Yusof Haslam mengakui dia sedih apabila saban hari semakin banyak kes penceraian dilaporkan berlaku.

Katanya, seperti kebanyakan pasangan lain, dia dan isteri juga tidak terlepas daripada berdepan pancaroba di sepanjang perkahwinan mereka yang kini berusia 41 tahun.

Justeru, menurut pengarah yang terkenal dengan kisah-kisah kepolisan itu, dia berpegang teguh dengan pesanan dititipkan arwah ibunya untuk sentiasa memujuk Fatimah Ismail setiap kali berlaku pergeseran antara mereka.

“Ini nasihat saya kepada semua pasangan, termasuk anak-anak saya. Kalau ada masalah, cari jalan terbaik, cari jalan perdamaian.

“Saya bukan sempurna, bagi saya dalam setiap rumah tangga perlukan kesabaran, tolak ansur dan pujuk-memujuk penting.

“Sebagai lelaki, jangan anggap apabila pujuk isteri, kita kalah. Itu silap.

"Hingga kini saya masih pegang petua dan nasihat daripada arwah ibu saya iaitu setiap kali isteri merajuk atau ada salah faham, mesti ambil hati isteri, kalau isteri merajuk, pujuk.

“Arwah ayah saya juga begitu, jika ada salah faham, dia akan cepat pujuk. Itu apa yang saya amalkan, alhamdulillah rumah tangga saya sudah masuk tahun ke-41,” katanya.

Jangan buat keras

Namun, menurut Yusof, 70, pujukan itu tidak semestinya perlu disertakan dengan hadiah atau bunga.

Katanya, selalu juga dia memujuk dengan kata-kata saja. Tamnbahan pula dia sendiri tidak biasa memberikan hadiah seperti bunga semasa memujuk.

"Sesekali beri hadiah pun ketika hari jadi. Kalau beri bunga sekalipun, masalah masih sama, tidak guna juga,” katanya pada malam gala filem Don Dukun di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Selain Yusof, Don Dukun dijayakan Zul Ariffin, Marsha Milan, dan pelawak Ropie. Don Dukun akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 31 Okt ini.

Jelas Yusof, setiap pasangan harus merendahkan ego masing-masing sekiranya berdepan sebarang konflik jika mereka mahu mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Malah katanya, pihak isteri juga harus memainkan peranan untuk saling bertolak-ansur.

“Buang ego sebab jika masih ego, masalah tidak akan selesai. Kalau isteri merajuk, suami pujuk. Tapi isteri pun janganlah ego atau buat keras saja, perlu ada tolak ansur.

“Saya kongsi nasihat ini bukan sebab saya sempurna atau perlu jadikan saya contoh. Ini nasihat sebagai orang tua yang sudah lalui proses perkahwinan,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pembabitannya dalam filem terbaru terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions dan GSC itu, Yusof memberitahu, dia mengambil masa sebulan untuk mempertimbangkan tawaran berlakon sebagai dukun bernama Pak Samad.

Pada awalnya, kata Yusif, dia meragui watak yang bakal dilakonkannya selain filem tersebut menggabungkan tiga dukun berlainan bangsa sebagai latar penceritaan.

“Datin (isteri) lebih suka kalau saya duduk rehat di rumah, tapi saya sejenis tidak boleh duduk diam. Jadi saya setuju dengan tawaran Gaya (penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai) untuk membintangi filem ini.

“Lepas habis tonton keseluruhan cerita, saya lihat ada kelainan dan transisi masa dari satu babak ke babak lain tidak meleret.

“Saya harap filem ini akan dapat sambutan, sebab akhir-akhir ini saya lihat sambutan masyarakat ke pawagam agak lesu,” katanya.