Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

TBA harap konsert sulung KL dapat sambutan sehangat Singapura

Susulan “sambutan luar biasa” diperoleh daripada beberapa konsert di Singapura, trio popular Indonesia, TBA, yakin persembahan julung kali di Malaysia pada 29 Nov ini bakal mencipta sejarah tersendiri.

Kata penyanyi TBA, Teuku Rizky Muhammad atau Kiki, meskipun tidak lagi tampil berempat seperti sebelumnya, kumpulan yang dulunya dikenali sebagai Coboy Junior (CJR) itu diyakini tetap utuh di hati peminat.

“Saya teruja apabila terserempak dengan peminat bulan lalu sewaktu hadir satu festival muzik di Malaysia, dia beritahu tidak sabar nak saksikan konsert kami Nov ini.

“Ini memang kali pertama kami hadir ke Malaysia dan kami bersemangat untuk mengadakan persembahan, tapi tiga kali mengadakan konsert di Singapura, sambutannya luar biasa.

“Jadi insya-Allah konsert sulung kami di Zepp KL nanti juga sambutannya akan begitu,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert itu di Ampang Jaya, Selangor baru-baru ini.

CJR yang ditubuhkan pada 23 Julai 2011 asalnya dianggotai oleh Alvaro Maldini Siregar atau Aldi, Bastian Bintan Simbolon (Babas), Kiki dan Iqbaal Dhiafakhri Ramadhan.

Band pop yang terkenal melalui lagu U-Uh itu berpecah pada 2 Dis 2017 namun kembali semula pada 5 Sept 2022 dengan nama TBA - yang diambil daripada awalan tiga nama anggotanya iaitu Teuku, Bastian dan Alvaro.

Mungkin satu hari nanti

Untuk rekod, jualan tiket persembahan kumpulan itu di Auditorium Shine pada 2013 dan Esplanade Concert Hall (2014) habis terjual, manakala di The Coliseum, Hotel Hard Rock Sentosa, Singapura hampir licin.

Selain TBA, peminat juga akan disajikan dengan persembahan UN1TY dan artis tempatan, Syaffiq Sahli, pada konsert berdurasi dianggarkan hampir dua jam itu.

Sementara itu, Kiki menjelaskan kumpulan itu tidak pernah bercakaran dengan anggota-anggota CJR yang lain iaitu Bastian, Aldi dan Iqbaal.

Bahkan, katanya, walaupun tidak lagi bersama mereka tetap menyokong kerjaya seni antara satu sama lain.

“Tidak ada sebarang pergaduhan, Iqbaal ada keluarkan lagu solo dan kami beri sokongan.

“Kami bersama sejak kecil dan sudah seperti keluarga bukan hanya kumpulan, kami sedih tapi kami harus hormati keputusannya untuk fokus pada perfileman.

“Mungkin suatu hari nanti kami dapat peluang untuk kembali bergabung,” katanya.