Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Hun Haqeem tak letak harga tinggi

Meskipun menang trofi Aktor TV Popular pada sebuah acara anjuran sebuah akhbar baru-baru ini, pelakon Hun Haqeem tidak berhasrat untuk meletakkan harga tinggi sekiranya ditawarkan pekerjaan.

Katanya, dia lebih mengutamakan bagaimana untuk memenuhi kehendak sesebuah karya berbanding harga yang diberikan.

“Alhamdulillah memang saya banyak terima tawaran sekarang, tapi menang (anugerah) atau tidak, saya akan sentiasa buat yang terbaik, bak kata Celine Dion show must go on.

“Jadi mengenai harga atau tawaran itu, terpulanglah pada mereka yang menawarkan.

“Berapa yang mereka ingin tawarkan kepada saya adalah nilai penghargaan mereka terhadap hasil kerja saya.

“Saya mahu bersama hasilkan karya memberi impak seperti filem-filem arwah Yasmin Ahmad, itu yang buat saya berada di sini hari ini,” katanya.

Hun berkata demikian pada majlis pelancaran drama terbaru lakonannya di platform penstriman, Viu iaitu From Saga With Love 2 di TRX Mall, Kuala Lumpur semalam.

Ditanya mengenai kemungkinan muncul pandangan skeptikal segelintir produksi berhubung 'harga' Hun yang mungkin meningkat selepas ini, pelakon itu berkata dia tidak dapat menghalang wujudnya sebarang spekulasi.

Hun, 26, berkata mereka yang pernah bekerjasama dengannya, pasti tahu komitmen dan hasil kerja diberikan dalam sesebuah karya.

“Apa saja pandangan orang memang saya tidak boleh kawal, tapi dari sudut komitmen, jika awak upah saya, saya akan pastikan semuanya berbaloi meliputi masa, tubuh dan jiwa saya untuk produksi itu.

“Itu saja yang dapat saya janjikan dan sekiranya mereka pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini, mereka tahu saya bagaimana,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pembabitannya dalam siri From Saga With Love 2, Hun berkata dia teruja apabila diberi kepercayaan untuk menyertai sebuah naskhah yang mendapat sambutan hangat tahun lalu.

Katanya, lebih berharga apabila dia berpeluang menjalani penggambaran siri popular musim kedua itu di Saga, Jepun hampir sebulan bersama barisan pelakon lain iaitu Ikmal Amry, Sophia Albarakbah, Fimie Don dan Siti Khadijah.

“Mungkin ramai tidak tahu, saya dan Am (Ikmal) berkawan sudah lebih 10 tahun, dengan kuasa Allah, kami akhirnya bergandingan dalam satu naskah buat kali pertama.

“Seronok apabila jalani penggambaran di sana sebab orang Jepun layan kami sangat bagus.

“Apabila penggambaran sedang berjalan, mereka pegang board yang bertulis penggambaran sedang dijalankan.

“Bukan itu saja, alumni di Universiti Saga turut berganding bahu memasak nasi briyani untuk kami, ia satu pengalaman berharga sebab semua sumbang sesuatu sepanjang penggambaran itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hun berkata jadualnya padat di mana dia akan kembali ke Jepun untuk pembukaan Levis pada Disember ini dan diikuti promosi filem Game of Life pada Januari nanti.