Shahir akur mendaki dari bawah semula
Ekoran kehilangan akaun media sosial satu ketika dulu yang menjadi platform untuk dia mengemas kini perkembangan sebagai penyanyi, Shahir Zawawi berasakan dirinya lambat-laun akan dilupakan peminat.
Atas alasan berkenaan, juara Akademi Fantasia musim kelapan itu berkata, dia hampir menguburkan hasratnya untuk terus kekal dalam bidang seni tarik suara dan beralih pada pekerjaan yang lain.
“Dalam dua tahun hilang Instagram akibat digodam, saya masih dapat tawaran persembahan pentas. Dalam tempoh itu juga, saya ada hasilkan dua lagu bersama Mawi dan Muniff Hijjaz.
“Cuma saya tidak berpeluang untuk maklumkan semua perkembangan kepada industri, rakan media dan peminat sebab tiada platform media sosial.
“Ia membuat saya terfikir: peminat juga mungkin perlahan-lahan akan lupakan saya. Ketika itulah saya tergerak hati nak beralih arah kerja lain,” katanya.
Menurut Shahir, 39, selepas membuka semula akaun Instagram baru, dia berasa agak terbeban kerana berasa seakan-akan terpaksa mendaki semula dari bawah.
Namun, katanya, atas sokongan peminat selain bertemu ‘jodoh’ dengan syarikat rakaman World Peace Entertainment, dia tidak berasakan usahanya itu mustahil.
Langsung tak merancang
Katanya walaupun peminat sudah tidak seramai dulu, dia tetap bersyukur kerana menemui orang yang ikhlas mahukan dia berkarya seperti selalu.
"Kerana mereka, saya bersemangat untuk kembali dengan lagu Aksara.
“Saya juga tidak teragak-agak untuk terima lamaran World Peace Entertainment kerana misi syarikat itu berkonsep Islamik selain bertujuan sebarkan kebaikan,” katanya.
Shahir ditemui pada majlis pelancaran Aksara di Kuala Lumpur baru-baru ini. Lagu itu mendapat sentuhan komposer Omar K dan Iqie Hugh.
Penyanyi itu yang mempertaruhkan Aksara sempena kemunculan semula dalam industri seni turut menampilkan isterinya Jaskin Jaludin dalam video muzik lagu tersebut.
Pada tahun lalu, menurut Shahir, dia pernah terfikir untuk berhijrah Arab Saudi bersama isterinya, Jaskin Jaludin, 35, namun impiannya untuk kekal di negara itu tidak kesampaian.
Menurutnya, dia terpaksa pulang ke tanah air berikutan kesihatan orang tua yang tidak mengizinkan.
“Saya sudah ada rumah dan menetap di Madinah. Cuma ketika itu, saya ulang-alik selama dua bulan.
“Hakikatnya, memang ingin hidup berdekatan Tanah Haram, bukan kerana ingin berbisnes. Tapi kalau sudah menetap di sana, tidak mungkin saya mahu duduk saja tanpa buat apa-apa.
“Saya masih simpan hasrat untuk tinggal di sana pada masa depan. Bukan hendak kata saya baik, tapi mahu cuci hati sebab dalam kehidupan ini, kita terlampau bergantung harap pada orang.
“Sebab itu sewaktu pindah ke sana, saya langsung tidak buat sebarang perancangan kerana saya hendak bergantung sepenuhnya pada Allah,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai