Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengurus jadi saksi Fazura menangis hampir setiap malam

Dituduh tidak bersedih dengan masalah rumah tangga sehingga meminta diceraikan, pengurus Nur Fazura, Iman Tang, menjelaskan emosi pelakon dan usahawan itu sebenarnya terjejas.

Kata Iman, dia menjadi saksi yang mendengar keluhan Fazura kerana pelakon Gol & Gincu itu sering menghubunginya untuk melepaskan kesedihan.

“Ada orang kata dia tertawa depan wartawan ketika hadir di mahkamah (kelmarin), takkanlah dia nak tunjuk dia menangis.

"Sebenarnya, dia memang bersedih dan menangis hampir setiap malam.

“Kadang-kala kami berborak sekitar jam 1 hingga 2 pagi dan saya dengar dia menangis. Saya tahu dia kuat, tapi dalam perbualan kami, dia menangis.

“Jadi, saya minta dia lepaskan semua dengan menangis sepuas-puasnya supaya dia tidak tertekan dan memendam perasaan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Govinda (Hal Hebat @ Kuala Lumpur) di ibu negara semalam.

Terdahulu, suami Fazura, Fattah Amin, enggan melepaskan pelakon terbabit ketika kes permohonan perceraian mereka disebut di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, kelmarin.

Iman Tang

Mahkamah kemudian menangguhkan kes tersebut kepada 7 Okt ini.

Namun, dalam hantaran dikongsikan di Instagram beberapa jam selepas ditemui media di mahkamah itu, Fazura meluahkan dia bertekad untuk bercerai atas alasan demi menjaga maruah dirinya sebagai wanita.

Iman memaklumkan Fattah tidak pernah menghubungi untuk berkongsi atau meminta nasihat mengenai masalah rumah tangganya.

Kata Iman, 49, bintang Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu ada menghubungi, namun ia berkisarkan perihal kerja semata-mata.

“Dia ada telefon tapi minta nasihat tentang kerja saja. Sejak permohonan cerai difailkan, Fattah tidak hubungi saya. Saya boleh bantu sekiranya dia bertanya,” katanya.