Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Jumlah pengawal peribadi Fazura tak perlu diperbesar - pengurus

Pengurus Nur Fazura, Iman Tang berpendapat, tindakan aktres itu mengupah hingga lima pengawal peribadi untuk mengiringinya ke mahkamah semalam adalah perkara wajar malah tidak perlu diperbesarkan.

Kata Iman, kehadiran pengawal peribadi adalah penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Fazura memang selalu ditemani pengawal peribadi. Pada saya tindakannya itu betul dan bukan isu besar.

“Kita tidak tahu apa akan berlaku semalam. Kami diberitahu, selain petugas media, peminat turut datang ke mahkamah.

“Kalau berlaku perkara tidak diingini, orang juga akan pertikaikan kenapa Fazura tidak guna khidmat pengawal peribadi, tapi apabila dia bawa pengawal peribadi, orang pula tidak senang melihatnya,” katanya.

Bahkan, menurut Iman, 49, sebagai pengurus, dia sendiri pernah berdepan beberapa kejadian tidak terkawal ketika dia dan Fazura dikelilingi orang ramai.

“Saya sendiri pernah berdepan situasi cemas, dicakar peminat yang ingin mengambil gambar dengan Fazura,” katanya.

Iman berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Govinda (Hal Hebat @ Kuala Lumpur) di sebuah kompleks beli belah di ibu negara hari ini.

Terdahulu kehadiran Fazura ke mahkamah bagi kes permohonan cerai terhadap Fattah sambil ditemani lima pengawal peribadi menjadi buah mulut netizen.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Terdahulu, Fattah dilaporkan belum bersetuju untuk melepaskan Fazura semasa sebutan kes permohonan perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari yang berlangsung semalam.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baru, iaitu pada 7 Oktober ini.

Fazura, 40, dalam satu hantaran di Instagram semalam menegaskan dia tekad untuk bercerai daripada Fattah demi maruahnya sebagai wanita.

Isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing.

Sementara itu, ditanya mengenai keadaan terkini Fazura, Iman memaklumkan pelakon filem Pisau Cukur itu terkesan dan sering menangis ketika meluahkan isi hatinya.

“Fazura bersedih hampir setiap malam. Kadang-kala kami berborak hingga lewat malam dan saya saksi dia tidak dapat menahan kesedihannya itu.

“Mana-mana wanita yang mengimpikan alam perkahwinan tidak ingin perkara sebegini berlaku kepadanya.

“Saya tahu dia kuat. Tapi apabila dia menelefon saya, dia menangis dan saya katakan kepada dia, menangislah sepuas-puasnya agar dia dapat kelegaan, jangan tertekan dan pendam perasaan,” katanya.