Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

MIG harap Dajal: Satu Malam diPedajal tak diboikot gara-gara Da’i Syed

Metrowealth International Group (MIG) berharap penonton tidak terburu-buru memboikot Dajal: Satu Malam diPedajal gara-gara salah seorang pelakonnya dijatuhi hukuman atas dakwaan merogol pada 2020.

Pengasas merangkap Pegawai Eksekutif MIG, David Teo, berkata dia terbuka untuk memberi peluang kepada Da’i Syed terlibat dalam filem tersebut kerana ketika itu mahkamah belum memutuskan selebriti terbabit bersalah.

“Sebenarnya apabila baca berita mengenai keputusan itu di media saya tak terkejut sebab sebelum ambil Syed berlakon lagi saya dah maklum keputusan belum muktamad.

“Kita tidak tahu takdir keputusannya, dia boleh jadi bersalah atau tidak, sebab itu saya beri dia peluang berlakon.

“Bagi saya, kejadian itu berlaku sewaktu Syed masih muda dan setiap manusia berhak diberi peluang untuk bertaubat,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman khas tayangan global filem Jangan Pandang Belakang 2 di Petaling Jaya semalam.

Justeru, David beranggapan tidak wajar sekiranya filem arahan Pierre Andre itu diboikot atas kesalahan dan kesilapan seorang pelakon.

Bahkan, katanya, babak menampilkan pemilik nama penuh Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful itu tidak boleh dipotong kerana boleh merosakkan karya tersebut.

“Jika penonton bijak, dia boleh faham dan menilai hal ini dari sudut profesional kerana saya lihat lakonan Syed memuaskan. Yang salah adalah masalah peribadi tapi bukan sikap profesional dia dalam lakonan.

“Dia juga bukan pelakon utama, namun babak dia tidak boleh dipotong kerana peranannya sebagai ustaz perlu melengkapkan filem berkenaan.

“Watak itu sesuai untuk dia, anggaplah itu filem terakhir sebelum dia masuk penjara malah namanya dikekalkan dalam credit title (penghargaan akhir).

“Tapi kalau ada penonton tidak suka dengan filem berkenaan selepas tonton, mereka boleh suarakan hal itu, ” katanya.

Pentingkan lakonan berkualiti

Untuk rekod Dajal: Satu Malam Diperdajal memulakan penggambaran pada 16 Julai hingga 31 Julai lalu. Filem itu dijangka tayangan pada Jan tahun depan.

Pada 30 Ogos lalu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7 di Shah Alam.

Syed didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Norazlin Othman juga mengarahkan Syed dipenjara serta-merta selepas pihak pembelaan gagal dalam permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Sept membenarkan Syed dilepaskan sementara dan hukuman tersebut ditangguhkan sehingga proses rayuannya didengar dan diputuskan.

Mahkamah juga menetapkan 5 Nov ini sebagai tarikh pengurusan kes rogol berkenaan.

Pada masa sama, David, 60, berkata dia sememangnya tidak mempunyai masalah untuk mengambil mana-mana pelakon yang bermasalah untuk beraksi dalam filemnya.

Apa yang penting, kata David, pelakon terbabit berkualiti.

“Saya tidak pandang kepada masalah peribadi mereka kerana saya seorang yang mahu bagi peluang kepada sesiapa saja,” katanya.