Logo Malaysiakini

Beto Kusyairy 'bikin badan' demi Gayong

Kalau diikutkan, lelaki ini tidak mempunyai masalah untuk menjayakan watak yang memerlukan dia bersilat serta tangkas bermain senjata kerana sudah mempelajari seni pertahanan diri itu sejak berusia tujuh tahun.

Dalam tempoh itu, pastinya Beto Kusyairy sudah mahir menggayakan berbagai rentak seni silat gayung sehingga bakatnya juga disedari pengarah bagi menjayakan filem bergenrekan itu seperti wataknya sebagai Wahid dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Namun, mengenali aktor kaliber memiliki nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman itu sememangnya tidak akan mengambil mudah sesuatu watak biarpun sudah ada pengalaman serta mempunyai ilmu persilatan.

Hal itu kerana kali ini pelakon berusia 44 tahun terbabit akan beraksi sebagai mahaguru silat.

Mengakui ia tugas besar dan agak berat, pelakon pembantu lelaki terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32 itu berkata kali ini dia akan tampil dalam filem baru menggalas watak sebagai pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.

Menyedari bukan calang-calang pelakon dipilih untuk menjayakan watak Allahyarham Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim itu, pelakon Bisik Pada Langit dan Imaginur berkenaan giat melakukan pelbagai persiapan sebaik diberi kepercayaan menggalas peranan tersebut dalam filem Gayong.

Ia termasuklah berjumpa dengan beberapa guru tua yang mengenali Meor Abdul Rahman selama lebih 20 tahun seperti Awang Daud di Gurun, Kedah bagi mengetahui karakter mahaguru terbabit selain memperkemaskan lagi ketangkasan seni silat gayungnya.

“Kita sedia maklum, waris dan rakan allahyarham masih ada dan kita pula mahu mengangkat namanya… tanggungjawab menggalas watak ini sangat berat apatah lagi persepsi masyarakat sudah tentu tinggi untuk melihat hasilnya.

"Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik hasil sokongan semua.

“Selain itu, hasil kajian saya mendapati allahyarham seorang berbadan tegap sehingga digelar pendekar sendo (kekar).

"Untuk itu, saya mengambil inisiatif dengan melantik jurulatih peribadi bagi menjalani latihan kecergasan di gimnasium selain menjaga diet pemakanan ketat,” katanya.

Beto yang ditemui pada sidang media dan pelancaran filem Gayong baru-baru ini turut ditanya berkenaan sasaran bina badan.

Katanya, dia tidak meletak sebarang aras namun cuba untuk membuatnya sebaik mungkin dalam tempoh kurang sebulan sebelum menjayakan watak berkenaan.

Selain Beto, filem arahan Faisal Ishak itu yang turut dibintangi Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian. Ia bakal memulakan penggambaran pada 5 Okt ini dan dijangka menemui penonton pada pertengahan tahun depan.

Sememangnya, kehebatan Beto membawa pelbagai watak dalam bermacam-macam sudah terbukti, namun dia mengakui tidak pernah mengimpikan untuk mendapat sebarang anugerah hingga ke peringkat antarabangsa walaupun bakat dan kemunculannya sentiasa dinantikan peminat.

Baginya, bukan anugerah yang dikejar sejak awal pembabitannya dalam industri, tetapi impak kepada penonton dalam setiap lakonannya.

“Bagaimanapun, ia (anugerah) adalah bonus dan saya berterima kasih serta bersyukur kalau ada yang memberi.

"Saya tidak pernah memandang rendah anugerah tempatan kerana ia daripada negara sendiri dan (itu menunjukkan) peminat menonton dan menghargai karya kita.

“Tidaklah terfikir anugerah tempatan tidak setanding bakat saya. Kita kena sedar diri dan sedar ruang di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” katanya.

- Bernama