Logo Malaysiakini

Lembayung bikin nama Anna 'diburu' di Indonesia

Aktres Anna Jobling terus diberi kepercayaan untuk menjayakan tiga filem baru di Indonesia selepas mencipta nama melalui naskhah Lembayung arahan sulung pelakon terkenal yang kini bergelar pengarah, Baim Wong.

Katanya, kejayaan dalam filem itu bukan saja memperkukuhkan namanya di pentas antarabangsa, malah membuka pintu kepada lebih banyak peluang di negara seberang.

“Saya sangat terharu dan bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh industri perfileman Indonesia.

“Selepas filem Lembayung, saya tidak menyangka akan menerima tawaran filem daripada tiga produksi berbeza di sini.

“Ini adalah peluang besar untuk saya kembangkan bakat dan karier di Indonesia,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu turut berterima kasih kepada Baim Wong atau nama sebenarnya Muhammad Ibrahim kerana membuka jalan untuknya di Indonesia.

Menurut Anna, tanpa sokongan dan bimbingan Baim Wong, peluang seperti itu mungkin sukar untuk dicapai.

“Baim bukan saja seorang pengarah yang berbakat, tapi juga seorang mentor yang banyak membantu saya.

“Saya berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam projek yang besar seperti ini. Dia benar-benar membuka pintu rezeki untuk saya di Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Filem itu ditayangkan secara rasmi di Indonesia bermula hari ini.

Anna yang kini kerap berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia melihat perkembangan kariernya sebagai satu langkah positif dalam mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Dengan sokongan peminat dan peluang besar yang diterimanya, Anna berharap dapat terus menonjolkan bakatnya di kedua-dua negara.

Menyentuh mengenai pengalamannya pada tayangan perdana filem Lembayung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Anna melahirkan rasa teruja apabila dikerumuni oleh peminat-peminat Indonesia yang menyambut kehadirannya dengan meriah.

“Saya tidak pernah membayangkan sambutan hangat seperti ini. Pemain industri di sini sangat profesional dan peminat pula sangat penyayang.

“Mereka sangat menghargai saya, dan saya rasa sangat gembira serta bersyukur,” katanya.

Lebih mengujakan, pada majlis tayangan perdana itu, peminat-peminat yang hadir turut meraikan ulang tahun Anna yang ke-24. Peminat memberikan pelbagai hadiah termasuk jambangan bunga, menjadikan acara itu lebih bermakna buatnya.

Selain sambutan daripada peminat, Anna juga berpeluang bertemu dengan beberapa nama besar dalam industri perfileman Indonesia seperti Christine Hakim, Prilly Latuconsina, dan Giorgino Abraham pada majlis tayangan tersebut.

“Bertemu dengan nama-nama besar seperti Christine Hakim dan Prilly Latuconsina adalah satu penghormatan buat saya. Saya sangat terinspirasi dengan dedikasi mereka terhadap industri itu,” katanya.