Logo Malaysiakini

Ooi Eow Jin meninggal dunia

Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) memaklumkan komposer terkenal Ooi Eow Jin yang terlantar sakit akibat alzheimer meninggal dunia kira-kira jam 5 petang hari ini.

Perkara itu disahkan oleh isteri mendiang, Khaw Lean Kee kepada YKAT.

“Pihak YKAT baru saja menerima panggilan telefon daripada Elain yang menyatakan suaminya Ooi Eow Jin baru saja meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Kuala Lumpur.

“Panggilan itu kami terima jam 4.48 petang,” kata yayasan itu dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mendiang merupakan pemuzik terkenal tanah air yang menerima bantuan bulanan YKAT berjumlah RM500 sebulan.

Ooi dan anak bongsunya Raymond pernah dilaporkan terlantar di katil rumah mereka dan memerlukan bantuan rawatan dan kewangan kerana keadaan kesihatan yang kurang baik.

Lean Kee dan Ooi kemudian diuji dengan kematian Raymond pada 11 Julai 2022 dipercayai akibat komplikasi Covid-19.

Raymond menghidap tumor otak sejak berusia 14 tahun manakala anak sulung pasangan itu juga meninggal dunia beberapa tahun sebelum itu akibat leukimia.

Ooi, 86, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Wellesley dan Sekolah Rendah Westlands. Selepas itu, pemuzik berkenaan melanjutkan pelajaran menengah di Penang Free School.

Selepas menamatkan alam persekolahan, Ooi berkhidmat sebagai guru sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Li Tek, Pulau Pinang selama dua tahun mulai tahun 1956.

Kemudian, dia berkhidmat sebagai kerani di Jabatan Ukur Pulau Pinang.

Ooi belajar bermain piano klasik selama empat tahun sebelum berjinak-jinak dengan muzik pop. Dia kemudian bermain muzik secara sambilan bersama kumpulannya di Pulau Pinang.

Semasa bermain di Hotel E&O Pulau Pinang, Alfonso Soliano seorang pemuzik terkenal tertarik dengan bakatnya lalu menawarkannya untuk bermain dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ooi menyertai Orkestra RTM sebagai pemuzik pada tahun 1963 sehingga tahun 1967. Selepas itu berhijrah ke TV3 pada tahun 1986 hingga 1999.

Komposer itu banyak mencipta lagu-lagu untuk penyanyi-penyanyi tempatan dan luar negara termasuk Sudirman, Dahlan Zainuddin, M. Nasir, Rahimah Rahim, Rafeah Buang, Flora Santos, kumpulan Alleycats dan Francis Yip.

Pingat kebesaran yang diperolehi Ooi membawa pangkat Datuk adalah hasil pengiktirafan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai anak jati Pulau Pinang.

Ooi juga pernah berkhidmat di Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA), Asia-Pacific of Broadcasting, Yamaha Music School, International College of Music (ICOM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).