Logo Malaysiakini

Nora rujuk semula Rushdi lepas sebulan

Penyanyi Nora mengumumkan dia sudah merujuk semula bekas suami Rushdi Ramli selepas sebulan mengumumkan perceraian melalui video di Instagram.

“Apabila suami ingin kembali rujuk saya terima kerana Allah,” katanya.

Menurut Nora, 51, walaupun berpisah dia dan Rushdi sebelum ini tidak pernah bermusuh.

“Kami tak pernah bermusuh. Moga jodoh kami berpanjangan,” katanya dipetik Harian Metro.

Ditanya proses rujuk itu berlangsung, penyanyi Di Persimpangan Dilema itu berkata suaminya datang berjumpa untuk menyuarakan hasrat itu.

Bagaimanapun Nora tidak menjelaskan secara terperinci berhubung tarikh rujuk.

“Bertemu depan mata dengan aman damai kerana perceraian (yang berlaku) itu bukan kehendak kami.

“Ia tidak lama selepas peristiwa berlaku. Saya beritahu bagi mengelakkan fitnah berhubung soal tempoh edah.

“Semoga perkara yang sama tidak berulang,” katanya.

Sebelum itu, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin pernah menyatakan dia berserah pada takdir sekiranya Rushdi ingin kembali bersatu sebagai suami isteri.

Pada 12 Ogos lalu, Nora memuat naik video bekas suaminya menceraikannya dengan talak satu pada video berdurasi 52 saat di IG.

Bagaimanapun, menurut Nora perceraian berlaku sebelum tarikh video itu dimuat naik.

Ketika itu timbul spekulasi Rushdi diugut dengan pistol bagi menceraikan Nora namun ia dinafikan penyanyi terbabit.

Selepas video tular, Nora menerima kecaman ramai kerana perkongsiannya itu.

Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021 malah Rushdi sahabat baik komposer terkenal Allahyarham Johan, suami Nora yang terdahulu.

Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.