Logo Malaysiakini

Fazura fail cerai terhadap Fattah

Pelakon dan usahawan Nur Fazura Sharifuddin dilaporkan memfailkan perceraian terhadap suami, Fattah Amin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun, menurut sumber punca perceraian itu tidak didedahkan.

“Iya, Fazura sudah failkan perceraian sebelum tengah hari tadi.

“Dia tidak hadir ke mahkamah, sebaliknya, urusan memfailkan perceraian itu dibuat peguam yang mewakilinya.

“Buat masa ini, punca perceraian tidak didedahkan,” katanya dipetik BH Online.

Sebelum itu, desas-desus kemelut rumah tangga Fazura, 40, dan Fattah yang juga pelakon Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu hangat diperkatakan di media sosial.

Namun, Fazura ketika ditemui Malaysiakini pada majlis pelancaran Koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura di ibu negara, pada 22 Julai lalu menafikan spekulasi rumah tangganya bergolak.

Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Aktres yang juga pelakon filem Pisau Cukur itu malah berkata dia tidak mempamerkan kebahagiaan dengan Fattah, 32, di media sosial bagi menghormati penderitaan Palestin.

“Sebenarnya saya pun tidak tahu dari mana hujung pangkal cerita ini bermula. Saya dan Fattah OK saja.

“Sampai ada antara kawan-kawan saya mula mesej untuk tanya sama ada hubungan saya dengan Fattah OK atau tidak.

“Sejujurnya saya memang terkesan dengan penderitaan Palestin, jadi bagi saya amat tidak sesuai untuk kami paparkan kebahagian bersama, malah untuk kongsikan perkembangan anak pun saya fikir panjang,” katanya.