Logo Malaysiakini

Aweera tuntut keadilan buat sepupu maut ditetak

Penyanyi Aweera berharap pelaku yang menyebabkan kematian sepupunya, bekas pelumba negara Allahyarham Elly Idzlianizar Elias mendapat hukuman setimpal.

Melalui hantaran dimuat naik dalam Instagram Stories, Aweera berkata, ketika ini dia masih dalam keadaan terkejut dengan berita mendukacitakan itu.

“Orang yang kau tetak itu darah daging aku. Semoga ada keadilan untuk abang Ijar (Elly).

“Semoga pelaku mendapat hukuman setimpal. Aku macam tidak percaya, tergamak hangpa buat macam itu. Allahu Akhbar. Aku reda.

“Aku terkejut. Harap pelaku merangkak di padang mahsyar,” tulisnya disertai dengan emoji tangisan.

Dalam hantaran berbeza, Aweera atau nama penuhnya Nasharul Aweera Norhissham, 32, sempat mengimbau kembali kenangan waktu kecil bersama sepupu ketika bercuti ke Pulau Langkawi.

Terdahulu, polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly, 40, ditikam selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar dalam kejadian berlaku pada 11.13 malam.

Dalam kejadian itu mangsa dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar dalam keadaan marah sebelum pergaduhan tercetus.

Siasatan lanjut yang dibuat mendapati mangsa meninggal dunia akibat mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan di mana satu kesan tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan mangsa.

Tiga suspek dipercayai kawan mangsa kini direman hingga 17 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.