Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 hari diterbitkan

Elak sejarah berulang, Bella Astillah jaga batas

Mungkin belajar dari pengalaman di sekeliling, pelakon dan penyanyi Bella Astillah kini lebih berhati-hati apabila bekerja bersama pelakon lelaki yang digandingkan dengannya.

Kata Bella, demi memastikan tiada perkara boleh menjejaskan komitmen kerja, dia sentiasa mengehadkan batasan pergaulan dengan pelakon berbeza jantina. 

“Kita perlu saling hormat-menghormati antara rakan sekerja, jadi paling penting kena jaga batas antara lelaki dan perempuan terutama di set penggambaran.

“Saya dan Ezaidi Aziz sudah tiga kali digandingkan jadi akan wujud ikatan (bonding) antara kami secara alami.

“Bagi elak cinta lokasi, perlu elakkan timbul perasaan dan kami mulai dengan panggilan, misalnya kau dan aku,” katanya.

Dari kiri: Shahidan Izwan, Bella Astillah dan Ezaidi Aziz

Selain itu, kata Bella lagi, dia juga mengelak untuk berhubung di luar waktu kerja.

“Kami bercakap atas keperluan dan ia dilakukan sewaktu bekerja saja. 

“Tidaklah sampai keluar berjalan-jalan mahupun bertukar-tukar mesej lepas habis penggambaran,” katanya.

Bella berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbaru lakonannya, Satu Hari Nanti di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.

Bella, 30, bakal bergandingan bersama Ezaidi yang memegang watak sebagai pelakon utama dalam drama yang boleh ditonton di aplikasi penstriman iQIYI itu.

Selain Bella dan Ezaidi, Satu Hari Nanti turut dibintangi barisan pelakon seperti Eyka Farhana, Shahidan Izwan dan Fazlina Ahmad Daud.

Ia berkisahkan seorang pemuda Cina mualaf, Noah Lee (Ezaidi) yang mengalami kekecewaan dalam percintaan.

Noah mula menyibukkan diri dengan melakukan kerja-kerja kebajikan dan bertemu dengan seorang wanita bernama Marissa Safiyyah (Eyka).

Bella rasmi bercerai kali kedua dengan Aliff Aziz pada 13 Jun lalu selepas episod kecurangan pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura itu yang tidak berkesudahan. 

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak, Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreana, 4.

Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019.

Aliff sebelum itu dicekup atas dakwaan berkhalwat dengan pelakon gandingannya dalam drama Terjerat, Ruhainies awal Mac lalu.

Namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada 3 Julai lalu.

Di sebalik kemelut rumah tangganya, nama Bella sebelum ini pernah dikaitkan dengan pelakon Muaz Zabir.

Mengulas lanjut, Bella berkata dia tidak menafikan jika terlalu serasi dengan pelakon gandingan, ia boleh membuat seseorang pelakon kurang kawalan emosi.

“Kita manusia, selagi boleh kawal, perlu kawal. 

“Mujur saya dengan Ezaidi ibarat seperti keluarga, kami sudah saling mengenali justeru tiada masalah berlakon bersama,” katanya lagi.