Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 hari diterbitkan

Harris Baba bawa Akon ke Malaysia, Singapura

Penyanyi dan pelakon yang pernah mencuri perhatian dalam industri hiburan tanah air, Harris Baba, terus menempa nama - kali ini dalam bidang penganjuran acara dan konsert.

Melalui syarikat Jeeharris Entertainment miliknya, dia akan membawa artis antarabangsa dari AS, Akon, ke negara ini untuk mengadakan persembahan.

Lebih membanggakan Jeeharris Entertainment menjadi satu-satunya penganjur yang membawa persembahan Akon di dua negara dalam tempoh sebulan iaitu di Malaysia dan Singapura.

“Artis antarabangsa pertama syarikat saya juga adalah Akon. Alhamdulillah, ini adalah satu kejutan dan benar-benar nikmat yang besar, alhamdulillah.

“Paling unik mengenai konsert Akon ini adalah saya satu-satunya penganjur yang melakukannya di dua negara dalam masa sebulan," katanya dalam kenyataan media.

Menurut Harris, rancangan awal untuk membawa Akon bermula sejak Dis tahun lalu dan berlanjutan hingga ke awal tahun ini.

Proses itu, katanya, mengambil masa tujuh hingga lapan bulan untuk dimuktamadkan di antara ejen tempahannya dan pengurusan Akon.

Menurut Harris, 32, jika ditanya apakah yang mendorong dia untuk menganjurkan konsert Akon The Superfan Tour Live di Kuala Lumpur dan Singapura, dia berkata, momen itu sudah lama dinanti-nantikan pasukannya.

“Kami sudah bekerja keras selama tujuh hingga lapan bulan terakhir ini. Kami sangat menantikan detik-detik ini.

“Sebelum Malaysia dan Singapura, difahamkan Akon akan membuat persembahan di beberapa negara Asia yang lain.

"Jadi, ia adalah sangat istimewa untuk syarikat saya yang bermula di Sabah, bukan di Kuala Lumpur,” katanya.

Hasil kerja berpasukan

Tambah Harris, Akon merupakan seorang penyanyi yang unik dan mempunyai kekuatan tersendiri serta mempunyai peminatnya yang besar di Malaysia dan Singapura.

Rangkaian lagu-lagunya juga popular di carta Billboard seperti Lonely, Smack That , I Wanna Love You dan Don’t Matter.

Harris sebelum ini berjaya menganjurkan lima acara utama di Sabah iaitu Borneo Mega Raya Fest 2023, Mari Makan Minum 2023 dan Borneo Mega Raya Fest 2024, serta dua konsert dalam satu bulan, iaitu Armada Band dan kumpulan Ungu dari Indonesia.

Akon The Superfan Tour in Malaysia bakal berlangsung pada 19 Nov ini di Mega Star Arena Kuala Lumpur, manakala konsert Akon The Superfan Tour in Singapore sehari kemudian di Arena @ Expo Hall 7 Singapore.

Menurutnya, pengalaman sepanjang menganjurkan pelbagai acara dan dua konsert di Sabah selain kerjasama daripada semua pasukan digunakan sebaiknya dalam menjayakan Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore

“Pengajuran konsert Armada Band dan Ungu bagi saya masih sebuah konsert yang sangat besar bagi saya kerana ini kali pertama saya melakukannya.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Jadi, ini saja pengalaman yang saya pernah ada selaku penganjur konsert.

"Dan untuk saya berkembang maju, ia adalah sesuatu yang baru yang perlu saya pelajari.

“Itulah sebabnya mengadakan acara dan konsert bukanlah atas bahu saya seorang, sebaliknya kerja berpasukan yang betul dan kukuh.

"Daripada pengalaman lalu, kini kita naikkan skala dan buat pula artis kelas A dari AS,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Harris berkata dia merancang untuk membawa dan menganjurkan lebih banyak konsert hebat artis ternama di Singapura dan Malaysia.

“Artis lain saya sudah berhubung dengan pihak pengurusan mereka dan saya akan menjanjikan senarai artis antarabangsa terbaik yang akan mengadakan persembahan hingga 2025.

“Saya juga sudah pun merancang yang mana sepanjang tahun depan, insya-Allah berharap semuanya berjalan seperti yang dirancang dan kami boleh membawa masuk ramai lagi artis ke Singapura dan Kuala Lumpur,” katanya.