Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Pengarah Yahudi Amerika, Sarah Friedland kutuk genosid di Gaza

Pengarah filem berbangsa Yahudi-Amerika, Sarah Friedland mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza ketika menerima anugerah pada Festival Filem Venice ke-81 yang berlangsung di Itali.

Sarah berkata, sebagai anak seni, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menggunakan platform yang ada bagi menyuarakan ketidakadilan ke atas Palestin.

“Sebagai seorang seniman Yahudi - Amerika yang berkarya menggunakan media massa, saya ingin menyatakan bahawa saya menerima anugerah ini pada hari ke-336 pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan tahun ke-76 penjajahan.

“Saya percaya, menjadi tanggungjawab kita sebagai pekerja filem untuk menggunakan platform institusi yang kita kerjakan bagi menangani kekebalan Israel di peringkat global,” katanya.

Sarah menerima anugerah Lion of the Future – Luigi De Laurentiis untuk filem arahannya, Familiar Touch serta Winner Venice Horizons untuk kategori Pengarah Terbaik.

Filem itu dijayakan pelakon seperti Kathleen Chalfant, Carolyn Michelle Smith, Andy McQueen dan H. Jon Benjamin.

Filem itu berkisahkan seorang wanita berusia yang beralih fasa dalam kehidupan berdepan konflik diri dengan penjaganya ekoran perubahan ingatan, identiti umur dan keinginan.

Tambah Sarah, dia juga berdiri teguh bersama rakyat Palestin.

“Saya berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan perjuangan mereka untuk pembebasan,” katanya.