Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Sedekad sepi, Rozita Rohaizad rindu beraksi kaca TV

Setelah lebih sedekad tidak beraksi, penyanyi dan pelakon veteran era 80-an Rozita Rohaizad meluahkan keinginan untuk muncul kembali di kaca televisyen.

Jika diberi pilihan watak, Rozita atau nama sebenarnya Siti Roswita Hamid, 68, mengimpikan untuk membawa watak seorang wanita yang mempunyai segala kemewahan di dunia namun berdepan pelbagai ujian kehidupan yang datang bertimpa-timpa.

“Daripada watak yang saya impikan ini saya nak cuba tunjukkan yang hidup ini memang sangat mencabar, sebab, walaupun kaya tak semestinya bahagia kerana semua Allah SWT yang pinjamkan untuk uji kita. Jadi, saya rasa penampilan dan pengalaman yang pernah dilalui ini boleh digemblengkan,” katanya kepada Bernama.

Anak kepada seniwati Allahyarhamah Mariani Ismail itu bagaimanapun berkata beliau tidak akan menolak jika diberi watak antagonis, yang menurutnya satu cabaran dan akan dijayakan sebaik mungkin di sebalik raut wajahnya yang lembut.

“Saya rasa boleh sahaja bawa (watak antagonis), cuma mungkin tak sehebat mak dan mak cik (Allahyarhamah Puan Sri Saloma) kerana mereka diberi anugerah luar biasa dan saya pula hanya mewarisi sedikit sahaja bakat itu,” katanya yang turut mengimpikan watak sebagai penyanyi.

Bercerita lanjut, Rozita yang baru melancarkan single terbaharunya Bila Larut Rindu pertengahan Ogos lepas, berkata dulu minatnya tidak tertumpu pada seni lakonan kerana terlampau fokus pada nyanyian sehingga pernah disindir oleh arwah ibunya.

“Dulu saya memang aktif menyanyi hingga satu hari mak panggil saya dan cakap ‘Kau bukan anak aku ke? Kenapa kau menyanyi sahaja tetapi tak berlakon? Kalau menyanyi itu Saloma.’ Jadi, dari situ saya faham apa yang mak mahu sampaikan dan cuba berlakon namun hanya untuk buat beilau gembira.

“Sekarang ini saya pula rasa minat sangat nak berlakon sebab keadaan sekarang pun dah bagus, dan bila semakin tua saya rasa semakin selesa, sebab dulu macam segan. Sekarang saya boleh sahaja ambil cabaran diberikan,” katanya yang pernah berlakon dalam drama Tanah Kubur dan drama bersiri kepolisan Gerak Khas.

Mengimbas kembali kenangan ketika baru menceburi dunia lakonan, Rozita yang pernah membintangi filem Serampang Tiga, mengakui beliau agak kekok ketika itu kerana jarang didedahkan kepada cabang seni tersebut.

Dalam pada itu, Rozita yang giat memperjuangkan martabat seni negara di persada antarabangsa, berkongsi pengalamannya berada di Australia baru-baru ini bagi membantu pelajar Malaysia di sana menjayakan persembahan kesenian mewakili negara.

“Alhamdulillah, saya dapat tolong mereka menjayakan undangan Festival at Boyd, Southbank pada 18 Ogos lepas. Baru-baru ini saya juga dapat jemputan lagi sekali ke multicultural event di New Zealand. Andai kata kalau ada (lagi) tajaan saya nak pergi,” katanya.

- Bernama