Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Diana Danielle lega 'Abang Bas' ditahan

Diana Danielle memuji tindakan pantas pihak berkuasa hari ini yang menahan seorang pemandu bas ekoran memuat naik kandungan yang memaparkan penumpang di bawah umur di media sosial serta melabel mereka sebagai crush atau kesayangan.

Sebagai ibu, kata pelakon itu, dia sangat bimbang dengan jenayah rogol yang rata-ratanya dilakukan dalam kalangan keluarga dan kenalan terdekat mangsa.

“Saya puas hati dengan tindakan polis kali ini berhubung isu pemandu bas yang rakam video pelajar dia suka.

“Walaupun dia cakap itu anak buah dia, kita sedia maklum keluarga rapat juga tidak boleh dipercayai sejak kebelakangan ini. Banyak kes haruan makan anak.

“Apa Abang Bas (pemandu bas) ingat, itu anak buah dia maka dia boleh jadikan kanak-kanak sebagai objek seksual dan anggap content dia suci?” katanya di Instagram hari ini.

Ketua Polis Johor, M Kumar, hari ini dilaporkan berkata seorang pemandu bas berusia 24 tahun ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang kira-kira jam 3 pagi tadi di Simpang Renggam, Johor Bahru. Pemandu bas itu direman lima hari bermula hari ini.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.

Semalam Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, meminta Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap Abang Bas ekoran perbuatannya merakam kanak-kanak.

Dia menegaskan perlakuan merakam dan memuat naik video kanak-kanak di media sosial adalah tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dinormalisasikan.

Melalui pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu yang menggunakan nama Abang Bas mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video dengan wajah pelajar jelas kelihatan ketika memandu bas sekolah.

Isteri kepada pelakon dan pengarah Farid Kamil itu berkata, walaupun terdapat kemungkinan ibu bapa kanak-kanak terbabit memberi kebenaran kepada Abang Bas untuk merakam aksi mereka, terdapat undang-undang bagi menghalang perbuatan itu.

“Abang Bas berkata dalam salah satu rakaman secara langsung yang mempertahankan aksinya bahawa ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan mengizinkan dia menjadikan anak mereka sebagai content malah tidak kisah mengenainya.

“Jika betul ibu bapa anak-anak itu tidak kisah, undang-undang masih wujud.

"Undang-undang itu untuk melindungi kanak-kanak mahupun untuk ibu bapa mereka yang tidak peka, tidak faham atau memang jenis tak kisah.

“Kamu memilih untuk mencipta content yang menunjukkan kecenderungan terhadap kanak-kanak. Tiada siapa yang boleh beri kebenaran untuk berbuat demikian termasuk ibu bapa mereka.

“Terdapat undang-undang yang melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi dan saya bersyukur ia wujud,” katanya.