Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Live TikTok, Baggio Damasutra nafi hidup terdesak

Penyanyi terkenal era 1990-an, Baggio Damasutra, menafikan kehidupannya kini terdesak ekoran tiada tawaran pekerjaan sehingga memaksa dia bergiat aktif melakukan siaran langsung di TikTok.

Baggio berkata, dia mula membabitkan diri di platform berkenaan sejak Ramadan lalu kerana ingin berkongsi kisah-kisah hidupnya sebagai penyanyi selain mengalunkan lagu-lagu Damasutra yang tidak dimainkan di stesen radio.

“Saya seperti kanak-kanak baru belajar medium baru yang sangat berbeza berbanding kehidupan dulu. Keseronokan dirasa bukan sebab pendapatan diraih tapi apabila kongsi footage rakaman menyanyi dulu.

“Ini adalah satu peluang perlu direbut selebriti yang lebih 30 tahun dalam industri.

“Apabila mereka joint siaran langsung dan saya beri respons hi, mereka jawab: wow. Itu pun dan buat mereka teruja. Inilah komunikasi dua hala yang saya mahukan,” katanya.

Bagaimanapun, Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 53, tidak menolak hakikat bahawa TikTok sememangnya menjadi punca yang menjana pendapatan sampingannya.

Kata penyanyi Umpama Mimpi Dalam Mimpi itu, selain meraih wang melalui TikTok, platform berkenaan juga membuka peluang baru dengan tawaran kerja yang tidak disangka-sangka daripada beberapa pihak.

“Saya bersyukur ada peluang aktif di TikTok. Apabila ramai lihat saya aktif di media sosial, tawaran pun datang sekali gus, mereka PM (mesej peribadi) minta buat persembahan seperti majlis untuk korporat atau hari keluarga.

“Dari segi jana pendapatan melalui TikTok, saya taklah dapat macam orang lain hingga berbelas ribu sekali harung.

“Alhamdulillah, kalau kumpul tiga hingga empat kali (live) boleh juga keluarkan kira-kira RM3,000. Lagipun saya bukan ke arah menjadi TikTokers, saya masih aktif menyanyi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Platform Digital GIG Pempengaruh Tempatan Influenstar Asia Dot Com di ibu negara kelmarin.

Ditanya nasihat buat artis senior lain supaya memanfaatkan TikTok, Baggio berkata, ia adalah medium baru yang berupaya mencipta peluang pekerjaan buat penggunanya.

Kata Baggio, artis lama wajar merebut peluang dengan memberanikan diri serta menguasai kemahiran menggunakan aplikasi itu demi kebaikan.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Dulu nak orang nampak muka kita kena keluar di medium tradisional seperti televisyen.

“Sekarang sudah mudah, asalkan jangan sentuh perkara sensitif, berbicara dengan berhemah dan matang, insya-Allah ramai orang akan suka tonton siaran langsung kita,” katanya.