Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 15 hari diterbitkan

'Ambil tahu hak undang-undang, cabaran hidup dunia AI'

Kecerdasan buatan (AI) berperanan penting dalam mengubah praktik konvensional sebelum ini, justeru masyarakat disaran mengambil tahu hak undang-undang serta kaedah menangani cabaran hidup dalam dunia itu.

Pengerusi Social & Economic Research Initiative (Seri), Nurul Izzah Anwar, berkata walaupun AI membawa banyak potensi, ia juga melibatkan sejumlah cabaran yang memerlukan pertimbangan teliti.

“Saya mohon untuk kita ketahui bukan saja hak tapi bagaimana nak menangani cabaran untuk hidup dalam dunia AI kerana minda dan psikologi kita berkemungkinan tidak mampu menandingi algoritma yang ada.

“Kita juga tahu ada beberapa sektor pekerjaan mula berubah dengan adanya digitalisasi, sekali gus ia mengurangkan keberkesanan dan peluang itu sendiri. Ini adalah realiti.

“Atas dasar itu, kita lihat pembentukan sektor baru adalah termasuk pempengaruh AI, jadi haruslah diteliti impak keseluruhan serta adakah ia satu fenomena yang sementara atau tidak, selain memastikan kita menjaga kelangsungan masa depan,” katanya.

Nurul Izzah mengulas isu kesan kuasa transformasi AI yang menimbulkan kegusaran serta melibatkan ancaman pada pekerjaan yang menggunakan pengurusan sumber manusia sedia ada.

Dia yang juga Naib Presiden PKR berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Platform Digital GIG Pempengaruh Tempatan Influenstar Asia Dot Com di ibu negara semalam.

Platform berkenaan turut memperkenalkan Jazmine yang menjadi pempengaruh maya pertama di Malaysia hasil kerjasama dengan Warnakala Studios, pemilik harta intelek (IP) Didi & Friends dan Makania.

Mengaku lebih teruja mengenali pempengaruh bersumber manusia, Nurul Izzah, 43, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan wujud persaingan melalui kewujudan pempengaruh janaan AI, Jazmine.

“Pada saya, itulah realiti dan cabaran. Sebelum ini kita bukan saja berdepan perubahan apabila personaliti media sosial menggantikan pengacara tradisional TV3 atau RTM (Radio Televisyen Malaysia).

“Justeru, dengan adanya Jazmine, mungkin terjadi persaingan. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk pempengaruh manusia. Saya sendiri lebih teruja melihat individu yang sebenar,” katanya.

Tak mahu sekadar tular

Mengenai kelangsungan pekerjaan sebagai pempengaruh, Nurul Izzah menyeru golongan yang menceburkan diri dalam bidang itu untuk mengetahui hak mereka.

Mengambil contoh dokumentari The Social Dilemma sebagai panduan, katanya, naskhah itu boleh membantu pempengaruh berdepan masalah dengan lebih bersedia.

“Dalam segala bidang perniagaan, pempengaruh tolong ketahui hak undang-undang anda. Terkini, tangkapan pemilik aplikasi Telegram, Pavel Durov, di Perancis.

“Jika mahu lahirkan ekosistem di mana sekalipun, kita lahirkan keadaan yang selamat dengan pempengaruh dapat meraih rezeki dalam keadaan selesa,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Influenstar Asia Dot Com, Nadia Janu, berkata syarikat berkenaan menawarkan latihan kepada golongan muda yang berminat untuk menjadi pempengaruh.

Katanya latihan itu dipersiapkan dengan modul latihan khas mengikut aliran terkini dan dilatih sendiri oleh pempengaruh yang berpengalaman dalam bidang kandungan kreatif.

Kata Nadia, melalui bimbingan disediakan pihaknya menyasarkan pencipta kandungan yang lebih bertanggungjawab serta beretika.

“Modul latihan diberikan ke arah kandungan berkualiti. Lebih penting, ia sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

"Kita tidak mahu tular saja sebab ia tidak bagus untuk jangka masa panjang malah tidak elok untuk masyarakat,” katanya.