Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

Elly Ariffin tepis tuduhan makin seksi sejak jadi janda

Pengacara dan pelakon Elly Ariffin menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap penampilannya kian seksi sejak dia bergelar janda.

Enggan melenting dengan tuduhan tersebut, bekas pengacara HLive itu berkata, dia bahkan berterima kasih dan menerima tanggapan tersebut dengan hati yang terbuka.

“Seksi ke? Saya rasa macam okay saja.

“Saya malah berterima kasih kepada mereka yang prihatin. Mereka yang berikan nasihat pun, saya hargai. Tapi saya tidak rasa saya seksi pun.

“Apa saja saya kongsikan di laman sosial, pasti ada teguran, sama ada negatif atau positif.

"Jadi, saya ambil semua komen itu sebagai pengajaran. Saya ambil perkara positif untuk kebaikan pada masa akan datang,” katanya.

Bagi pemilik nama penuh Nurul Elyana Kamalul Arifin itu, maksud seksi juga bergantung pada persepsi seseorang yang menilai dan ia bersifat subjektif.

Elly berkata demikian selepas majlis pelancaran platform digital GIG Pempengaruh Tempatan Influenstar Asia Dot Com & Jazmine sebagai pempengaruh maya pertama di Malaysia di ibu negara semalam.

Sebelum ini, Elly dan pelawak Jiggy Masin pernah mendirikan rumah tangga pada 9 Sept 2016 namun mereka bercerai pada Jan 2020.

Jiggy kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua iaitu dengan atlet penerjun negara, Dhabitah Sabri, pada 28 April 2023.

Diminta mengulas penampilan yang diibaratkan melepas geram sejak kembali solo, Elly, 34, berpendapat telahan itu berkemungkinan disebabkan dia semakin dikenali sebagai pelakon.

Dia yang membintangi drama Malang Si Puteri itu berkata, sebelum ini namanya hanya dikenali dalam bidang kewartawanan dan pengacara.

“Pada saya biasa saja. Inilah gaya penampilan saya sama sama ada sebelum solo atau lepas cerai.

“Kini rezeki saya lebih dalam bidang lakonan dan orang ramai semakin kenali saya jadi mungkin itu sebab segelintir yang berkata begitu, sedangkan penampilan saya sama saja,” katanya.